Seorang ketua cawangan Umno dalam bahagian Segambut membuat laporan kepada polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) mendakwa ketua bahagian tersebut, Senator Datuk Kamaruddin Ambok telah menyalahguna kuasa dan melakukan pecah amanah.

Ketua Umno cawangan Kampung Sejahtera, Mohd Hanif Ali Akbar, 41, turut menghantar laporan mengenai dakwaannya itu kepada Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 12 Julai lalu.

Beliau membuat dua laporan kepada BPR pada 12 dan 18 April lalu, diikuti dengan laporan kepada polis pada 26 April, yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Mohd Hanif ketika ditemui mengesahkan membuat laporan tersebut.

Dalam laporan-laporan tersebut, Mohd Hanif mendakwa Kamaruddin menerima RM15,000 dari syarikat pemegang konsesi lebuhraya, Korsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn Bhd (Kesturi) dan menggunakan wang tersebut untuk kepentingan peribadi.

Beliau mendakwa, Kamaruddin telah mengarahkan Kesturi menyumbang RM15,000 kepada pegawai khasnya, Hassan Sulaiman untuk membiayai majlis dialog mengenai pembinaan lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke) bahagian Segambut.

Bagaimanapun, dakwanya, Kamaruddin telah menggunakan sumbangan Kesturi itu untuk mengadakan majlis sambutan hari raya di rumahnya sendiri.

Majlis dialog

Menurut Mohd Hanif, wakil Kesturi, Azahan Ahmad Lehuri mahu mengadakan majlis dialog dengan penduduk Kampung Sejahtera untuk memberi penerangan mengenai pembinaan lebuhraya dan penempatan setinggan tetapi dibatalkan oleh Kamaruddin.

Katanya, Kamaruddin sebaliknya memberitahu bahawa majlis tersebut akan diadakan di rumahnya pada 3 Disember 2004 tetapi Umno Cawangan Kampung Sejahtera tidak menerima sebarang jemputan.

Salinan surat itu juga dihantar kepada Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak, ketiga-tiga naib presiden Umno, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad; Bendahari Umno, Datuk Azim Zabidi; Ketua Penerangan, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Pengerusi Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Tengku Adnan Mansor.

Mohd Hanif berkata, Azahan memaklumkan kepada beliau bahawa Kamaruddin telah menyalahgunakan wang tersebut.

Menurutnya lagi, dalam satu perjumpaan antara beliau, Timbalan Ketua Umno Bahagian, Datuk Abu Kassim Tadin dan Ketua Pemuda cawangan Kampung Sejahtera dengan Azahan dan Mohd Pozi Zakaria dari Kesturi di Selangor Royal Golf Club pada 6 Mei lalu, mengesahkan salahlaku Kamaruddin itu.

Menurutnya, Azahan dan Mohamad Pozi juga mengesahkan bahagian parlimen lain termasuk Setiawangsa yang juga menerima peruntukan RM15,000 dari Kesturi telah mengadakan majlis sambutan hari raya di kawasan masing-masing.

Dua laporan BPR

"Saya dengan mandat yang diberikan oleh cawangan Kampung Sejahtera telah membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan polis terhadap penyelewengan yang dibuat oleh Kamaruddin.

"Laporan pertama dibuat pada 12 April lalu dan kali kedua pada 18 April, kedua-duanya di BPR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Manakala laporan polis saya buat di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur pada 26 April," katanya.

Mohd Hanif berkata, semasa mesyuarat perwakilan bahagian yang diadakan pada 22 Mei lalu, Kamaruddin mengesahkan beliau menerima sumbangan tersebut .

Menurutnya, Kamaruddin (gambar) sebagai ahli Dewan Negara tidak boleh menggunakan kedudukannya untuk mendapat habuan atau sumbangan untuk kepentingan peribadi.

Pembinaan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke) membabitkan pemindahan 1,691 keluarga setinggan di beberapa kawasan seperti Segambut, Batu, Wangsa Maju dan Setiawangsa.

Sementara itu, Pengurus Komukinaksi Korporat Kesturi, Raja Azizan Shah Mohamed ketika dihubungi enggan membuat sebarang komen mengenai perkara itu manakala Kamaruddin tidak dapat dihubungi.