Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) tetap dengan pendirian bahawa penduduk setinggan Kampung Seri Puchong perlu berpindah selewat-lewatnya 31 Ogos ini.

Keputusan itu dibuat oleh Pengarah Perancang Pembangunan MPSJ, Md Isa Jaafar selepas berunding dengan kumpulan penduduk kampung terbabit yang diketuai oleh A. Sivanesan dan R. Daniel semalam.

Dalam rundingan selama sejam semalm, Sivanesan berkata Md Isa memberitahu mereka ia adalah arahan Exco Kerajaan Negeri Datuk K.Sivalinggam setelah mengambilkira bahawa kerajaan negeri menyediakan rumah yang mencukupi kepada penduduk terbabit.

Sivanesan berkata, penduduk terbabit ditawarkan untuk berpindah ke penempatan sementara yang disewa oleh MPSJ di sekitar Puchong, dengan bayaran sewa RM124 sebulan.

Menurutnya, penduduk akan ditawarkan membeli rumah kos rendah di projek Lestari Puchong dan perumahan di Bandar Kinrara apabila siap sepenuhnya kelak.

Katanya, permintaan penduduk supaya MPSJ menangguhkan dahulu operasi merobohkan rumah mereka tiga bulan lagi, ditolak.

"MPSJ dan kerajaan negeri tidak akan melayan sebarang rayuan daripada mana-mana pihak untuk melewat-lewat pemindahan mereka," katanya.

Berikutan itu, kata Sivanesan, pihaknya sedang mengkaji untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap MPSJ jika pihak berkuasa tempatan itu berkeras mahu merobohkan penempatan setinggan Kampung Seri Puchomg.

Beliau berkata, penduduk kesal dengan keputusan yang dibuat oleh Sivalinggam itu kerana beliau mungkin tidak tahu status sebenar penduduk terbabit.

Jumaat lalu, kira-kira 150 penduduk setinggan Kampung Seri Puchong mengadakan perhimpunan secara aman di depan ibu pejabat MPSJ bagi membantah tindakan untuk merobohkan rumah mereka.

Mereka juga mendakwa anggota Rela dan anggota penguatkuasa MPSJ menggugut penduduk kampung supaya berpindah ke kawasan perumahan Bandar Kinrara, 20 kilometer dari rumah mereka.

Daniel berkata, anggota penguatkuasa MPSJ sudah menampalkan notis di rumah penduduk meminta mereka berpindah ke Bandar Kinrara kerana rumah setinggan di Kampung Seri Puchong akan dirobohkan.

"Masalahnya penduduk telah membeli apartmen kos rendah Lestari Puchong tetapi projek perumahan tersebut tidak disiapkan sepenuh dan kini terbengkalai. Namun penduduk tetap membayar faedah bank sejak dua tahun lalu," katanya.

Menurutnya, seramai 274 keluarga telah mendiami Kampung Seri Puchong sejak tahun 1992, tetapi 102 daripada keluarga terbabit, mendapat flat kos rendah di Puchong Indah minggu lalu.