Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh hari ini mempertahankan tindakan Pejabat Tanah Daerah Besut merobohkan beberapa replika di perkampungan "kerajaan langit" Ayah Pin, di Batu 13 Besut semalam.

Katanya, ini kerana tindakan mendirikan struktur itu bercanggah dengan Seksyen 129 Kanun Tanah Negara dan kerajaan boleh mengambil alih sementara tanah berkenaan.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata pemilik tanah itu telah diberi notis sebulan yang lalu.

"Ini tanah pertanian dan kerana itu ia tidak boleh didirikan dengan struktur tertentu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan surat tawaran lesen baru kenderaan perkhidmatan awam dan barangan wilayah timur di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai cakap-cakap kononnya Ayah Pin atau Ariffin Mohamad, 65, telah mendapatkan perintah mahkamah sebelum ini bagi melarang premis dan replika di perkampungan itu dirobohkan.

Surat notis

Semalam, beberapa struktur dan replika gergasi di perkampungan itu dirobohkan dengan bantuan 50 kakitangan Pejabat Tanah Besut, Jabatan Kerja Raya, Tenaga Nasional dan Syarikat Air Terengganu.

Bagaimanapun beberapa rumah di perkampungan itu tidak dirobohkan.

Mengulas lanjut, Idris berkata jika ada perintah mahkamah, sudah tentu Pejabat Tanah menerima salinannya dan menurut beliau pemilik tanah berkenaan juga gagal menjawab surat notis yang dikeluarkan Pejabat Tanah Besut sebelum ini.

Idris berkata beberapa pengikut Ayah Pin sudah menyedari perkara sebenar yang berlaku dan ada yang marah kepada Ayah Pin kerana melarikan diri.

Mereka ini akan menjalani program pemulihan aqidah anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu, katanya.