Parti Keadilan Rakyat (PKR) membantah keras kenaikan harga minyak kerana ia akan membebankan rakyat, kata Presidennya, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Dalam satu kenyataan akhbar, beliau berkata, kenaikan minyak itu akan menyebabkan kenaikan tambang pengangkutan awam dan harga barangan keperluan harian.

"Golongan yang paling perit menanggung beban kesan daripada kenaikan harga minyak ini ialah rakyat," katanya.

Menurutnya, kerajaan pernah melaungkan rancangan untuk mencapai inflasi sifar tetapi nampaknya ia sudah dilupakan sama sekali.

Kerajaan telah mengumumkan kenaikan harga runcit petrol dan diesel masing-masing 10 sen dan 20 sen seliter semalam.

Dengan itu, harga runcit baru petrol premium (RON 97) di Semenanjung ialah RM1.62 seliter, petrol (RON 92) RM1.58 seliter dan diesel RM1.281 seliter.

Di Sabah dan Sarawak pula, harga runcit baru RON 97 ialah masing-masing RM1.60 dan RM1.61 seliter, RON 92 RM1.58 seliter di kedua-dua negeri, manakala diesel RM1.284 dan RM1.278 sen seliter.

Menambahkan beban

Kali terakhir kerajaan menaikkan harga petrol dan diesel ialah Mei lalu, juga sebanyak 10 sen dan 20 sen.

Kenaikan itu turut membabitkan harga gas petroleum cecair (LPG) iaitu sebanyak lima sen. Harga baru LPG bagi Semenanjung ialah RM1.45 seliter, sementara bagi Sabah dan Sarawak RM1.53.

Mengenai kenyataan bahawa harga minyak di Malaysia rendah dibandingkan dengan beberapa negara jiran, Wan Azizah berkata, kerajaan harus ingat, selain membayar harga minyak yang meningkat, pemilik kenderaan juga terpaksa membayar cukai jalan dan tol lebuhraya yang tinggi.

Oleh itu, katanya, jikalau dicampur kesemuanya itu, maka beban yang ditanggung oleh para pengguna di negeri ini adalah lebih teruk.

Sebenarnya, kata beliau, harga minyak petrol tidak perlu dinaikkan pada masa ini kerana kenaikan harga minyak petrol di pasaran dunia sekarang, telah memberikan keuntungan kepada negara.

"Baru-baru ini, Petronas mengumumkan keuntungan besar, di sekitar RM50 bilion untuk setahun lalu. Mengapa masih hendak membebankan rakyat?

"Lagi pula, selepas kerajaan memansuhkan tambatan Ringgit kepada Dollar, ramai para akademik, peniaga dan menteri menyatakan harga import barangan akan lebih murah kerana kedudukan ringgit bertambah kukuh," tambahnya,

Oleh itu, kata Wan Azizah, PKR mendapati bahawa segala laungan pemimpin negara konon hendak membela nasib rakyat ramai adalah kosong semata-mata.