Kerajaan Langit akhirnya roboh
Pihak berkuasa Daerah Besut telah mengambil tindakan merobohkan binaan-binaan raksasa berbentuk kendi, payung dan pelbagai lagi struktur konkrit bersalut batu mar-mar di kawasan Kerajaan Langit semalam.
Pihak berkuasa Daerah Besut telah mengambil tindakan merobohkan binaan-binaan raksasa berbentuk kendi, payung dan pelbagai lagi struktur konkrit bersalut batu mar-mar di kawasan Kerajaan Langit semalam.
Menurut beberapa penduduk di situ, jentera berat dibawa ke perkampungan itu kira-kira jam 2 petang dan keseluruhan binaan dan struktur Kerajaan Langit di Kampung Batu 13, Hulu Besut itu, dirobohkan dalam tempoh beberapa jam sahaja.
"Anda dapat dengarkan bunyi kuat itu?..binaan-binaan sedang dirobohkan. Mereka sedang merobohkan bangunan dewan utama binaan yang terakhir dirobohkan," kata seorang pengikut Ayah Pin ketika dihubungi kira-kira jam 2.30 petang semalam.
"Keseluruhan tempat tersebut telah dirobohkan. Tiada apa yang tinggal lagi untuk menjadi kenangan," katanya.
Menurut penduduk di situ, rumah mereka bagaimanapun tidak disentuh, tetapi mereka diberi tempoh tiga minggu oleh pihak berkuasa agama negeri untuk mengosongkan kawasan tersebut, atau akan dikenakan tindakan.
Difahamkan bahawa pihak berkuasa daerah itu, bersama anggota polis, hadir ketika kerja-kerja merobohkan binaan di situ dijalankan, tetapi penduduknya tidak mengenali pegawai-pegawai tersebut.
Tiga isteri Ayah Pin ditahan
Sementara itu, peguam Haris Mohamed Ibrahim, yang mewakili pemilik kawasan Kerajaan Langit itu, Che Minah Remeli, berkata beliau tidak pasti pihak manakah yang memberi kebenaran untuk merobohkan binaan-binaan terbabit.
"Kita tidak tahu, di bawah kuasa apa, tindakan itu diambil, tetapi kami memadang berat perkara itu kerana perintah penangguhan (merobohkan binaan di situ) telah dikeluarkan oleh hakim Mahkamah Tinggi," katanya.
Menurutnya, jika tindakan itu diambil oleh Pejabat Tanah, maka pihaknya akan memfailkan perintah menghina mahkamah terhadap mereka yang terlibat.
Katanya, lagi, adalah sukar untuk menyatakan apa-apa sehinggalah beliau mendapatkan maklumat sepenuh mengenai kejadian semalam.
Sementara itu, Bernama melaporkan, tiga daripada empat isteri ketua Ayah Pin " ditahan di sebuah rumah di Kampung Sungai Pinang, Palekbang, Tumpat, Kelantan pagi semalam.
Mereka ialah isteri kedua Ayah Pin, Che Zaharah Awang, 45 (kiri sekali) dari Pasir Puteh, Kelantan; isteri ketiganya Ruzilan Mukhtar, 41 (tengah) dari Jerangau, Dungun, Terengganu dan isteri keempat, Nik Kamariah Nik Pah, 33, (kanan sekali) juga dari Pasir Puteh, Kelantan.
Didakwa hari ini
Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) Shaikh Harun Ismail berkata ketiga-tiga mereka ditahan sepasukan polis dari Kontijen Kelantan kira-kira 11 pagi dan membawa mereka ke balai polis Jertih untuk diserahkan kepada JHEAT.
Pagi ini, mereka dihadapkan di Mahkamah Rendah Syariah Besut yang membebaskan mereka dengan ikat jamin sebanyak RM1,500 tiap seorang berhubung tuduhan mengingkari arahan pihak berkuasa agama.
Hakim Wan Abdul Malik Wan Sidek menetapkan 22 November nanti sebagai tarikh sebutan semula kes itu.
Ketiga-tiganya dituduh mengikut Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana melanggar perintah Mufti Negeri dengan terlibat dalam ajaran yang terpesong daripada ajaran Islam.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga wanita itu dalam prosiding yang berlangsung selama hanya lima minit itu. Kesemua mereka menjelaskan wang ikat jamin itu.
Nik Kamariah sebelum ini adalah antara 21 pengikut Ayah Pin yang ditahan dalam operasi khas JHEAT 2 Julai lalu dan akan didakwa pada 23 Ogos ini.
Beliau bersama empat yang lain akan didakwa mengikut Seksyen 14 (B) enakmen itu kerana memiliki VCD yang bertentangan dengan hukum syarak manakala 17 yang lain akan didakwa mengikut Seksyen 10 enakmen yang sama.
Ayah Pin dan empat isterinya dikatakan melarikan diri daripada perkampungannya sebelum perkampungan itu diserang sekumpulan lelaki bertopeng pada 18 Julai lalu.
JHEAT telah menjalankan operasi dan menahan 58 pengikut ajaran itu di perkampungan berkenaan pada 20 Julai lalu dan mendakwa mereka ke Mahkamah Rendah Syariah di sini 21 Julai lalu kerana melanggar perintah Mufti negeri dan terlibat dengan kumpulan ajaran sesat itu.
Shaikh Harun berkata JHEAT akan terus memperhebatkan gerakan memburu Ayah Pin dan isteri pertamanya, Che Minah Remeli, 58, dengan bantuan polis.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedudukan terkini Ayah Pin dan isteri pertamanya itu supaya dapat menghubungi Pejabat Agama Daerah Besut di talian 09-6956249.

