Dr Koh Tsu Koon sedia terima pencalonan
Naib Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata beliau sedia menerima tanggungjawab untuk jawatan yang lebih tinggi dalam parti jika ada pencalonan menjelang pemilihan parti Ogos ini.
Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik berkata sebahagian besar ahli parti itu mahu Ketua Menteri Pulau Pinang itu, menjadi peneraju parti itu selepas beliau bersara pada tahun 2008.
Naib Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata beliau sedia menerima tanggungjawab untuk jawatan yang lebih tinggi dalam parti jika ada pencalonan menjelang pemilihan parti Ogos ini.
Dr Koh (foto) berkata, keputusannya untuk menerima pencalonan bagi jawatan yang lebih tinggi dibuat setelah beliau membuat pertimbangan yang teliti dan berunding dengan para pemimpin parti di pelbagai peringkat.
"Saya yakin dapat menunaikan tanggungjawab yang lebih besar jika terdapat pencalonan bagi jawatan yang lebih tinggi," katanya kepada pemberita di Pulau Pinang semalam.
Ditanya jawatan yang dimaksudkan beliau, Dr Koh berkata: "Biarlah perwakilan yang membuat pencalonan dan saya serahkan kepada perwakilan menentukannya." 
Menurut laporan Bernama, Ketua Menteri Pulau Pinang itu disebut-sebut akan merebut jawatan Timbalan Presiden yang kini disandang oleh Datuk Seri Kerk Choo Ting (foto).
Pilihan ahli
Semalam, Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik berkata sebahagian besar ahli parti itu mahu Dr Koh menjadi peneraju parti itu selepas beliau bersara pada tahun 2008.
Ditanya mengenai hubungannya dengan Kerk, Dr Koh berkata hubungannya dengan Kerk, yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, adalah baik.
Dr Koh berkata, beliau sebelum ini mendiamkan diri dan tidak membuat sebarang kenyataan kerana tidak mahu menyatakan sesuatu sebelum tiba masanya dan itu adalah cara kepimpinannya dalam parti.
"Saya yakin jika terpilih bagi jawatan yang lebih tinggi dalam parti, ia tidak akan menjejaskan tugas saya sebagai Ketua Menteri dan apa yang lebih penting ialah semua ahli parti bekerja dalam satu pasukan," katanya.
Pencalonan bagi jawatan-jawatan dalam parti akan diadakan pada 20 Ogos manakala persidangan pemilihan agungnya pula pada 26 dan 27 Ogos.

