Seramai 35 pelajar Sekolah Kebangsaan ( SK) Taman Selasih dekat Kulim mengalami keracunan makanan selepas makan nasi putih dan ayam goreng yang dijual pengusaha kantin semasa waktu rehat, pagi semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, pelajar yang terlibat berusia 7 hingga 11 tahun dan mereka mula mengalami simptom keracunan pada kira-kira11.45 pagi.

Beliau berkata, hanya lima pelajar mendapat rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kulim yang terdiri daripada seorang pelajar lelaki Tahun Satu, tiga pelajar perempuan Tahun Empat dan seorang pelajar perempuan Tahun Lima.

"Tiada kes yang dimasukkan ke wad manakala gejala yang dialami adalah muntah dan cirit, " katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Dr Norhizan berkata, pemeriksaan kantin sekolah berkenaan oleh Pusat Kesihatan Daerah Kulim mendapati kantin berkenaan cuma menjual makanan yang telah siap dimasak di tempat lain iaitu oleh pengusaha kantin Kolej Vokasional Kulim yang mula beroperasi di SK Taman Selasih semalam.

Menurut rekod, pengusaha kantin lama telah tamat perkhidmatan di sekolah tersebut semalam (15 Mei).

"Sebagai langkah kawalan dan pencegahan, premis penyediaan makanan tersebut telah ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, katanya.

- Bernama