Wang ehsan untuk Terengganu diteruskan
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar berkata, kerajaan pusat telah menyalurkan kira-kira RM600 juta wang ehsan untuk melaksanakan projek pembangunan di Terengganu dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar berkata, kerajaan pusat telah menyalurkan kira-kira RM600 juta wang ehsan untuk melaksanakan projek pembangunan di Terengganu dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Katanya, jumlah wang ehsan yang akan diperolehi oleh kerajaan negeri pada tahun ini ialah lebih RM900 juta dan ia dibuat secara berperingkat.
"Saya tidak mendengar khabar bahawa kerajaan pusat terutama Kementerian Kewangan mahu menyekat pemberian wang ehsan tersebut ataupun melambat-lambatkannya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Ketua Umno Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan semasa berucap di perhimpunan agung Umno baru-baru ini.
Rosli mendakwa kerajaan pusat gagal membayar wang ehsan kepada kerajaan negeri seperti yang dijadualkan.
Menurut beliau, Terengganu kini menghadapi masalah untuk melaksanakan projek pembangunan kerana kerajaan pusat lambat memberi peruntukan wang ehsan kepada negeri itu.
Berikutan itu, dalam ucapannya beliau meminta Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memastikan Kementerian Kewangan menyalurkan peruntukan wang ehsan kepada Terengganu untuk melancarkan pembangunan di negeri tersebut.
"Jika kami tidak menerima wang ehsan, pembangunan yang dirancang akan tergendala dan ini merugikan rakyat," katanya lagi.
Rasional sendiri
Bagaimanapun, Abdul Rahman berkata, apa yang dimaksudkan oleh Rosli ialah beliau mahu kerajaan pusat memberi peruntukan wang ehsan sebanyak RM900 juta itu secara sekaligus bagi memudahkan perancangan pembangunan.
Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, kerajaan pusat mempunyai rasional sendiri dengan pemberian wang ehsan secara berperingkat adalah untuk memudahkan pemantauan.
Katanya lagi, kerajaan pusat tidak pernah gagal membayar sebarang projek pembangunan yang dibuat di negeri itu asalkan mendapat kelulusan terlebih dahulu.
"Semua projek pembangunan di Terengganu dibiayai dengan menggunakan wang ehsan dan kerajaan negeri tidak menghadapi sebarang masalah untuk mendapatkannya," katanya.
Setiausaha Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, kerajaan memberi peruntukan wang ehsan berdasarkan jumlah projek yang pembangunan yang dibuat di negeri itu.
Katanya, setakat ini kerajaan pusat tidak pernah gagal memberikan bantuan kewangan terhadap sebarang projek pembangunan yang dijalankan di negeri itu.
"Kerajaan negeri gembira dengan cara pembayaran dan pengagihan yang dibuat oleh kerajaan pusat sekarang dan tidak bercadang meminta Kuala Lumpur membuat pembayaran sekaligus," katanya.
Isu wang ehsan tercetus apabila kerajaan pusat menghentikan pembayaran royalti minyak lima peratus setahun kepada Terengganu setelah PAS mengambilalih pemerintahan pada pilihanraya umum tahun 1999.
Kerajaan pusat menukar royalti kepada wang ehsan dan pembayarannya disalurkan kepada Umno untuk membiayai projek pembangunan di negeri tersebut.
Berikutan PAS mengambil tindakan mahkamah terhadap Petronas tetapi kes tersebut terhenti apabila Umno memerintah semula Terengganu dalam pilihanraya umum lalu.

