Terjemahan Gesaan Pemuda Umno supaya kerajaan memperkenalkan semula Dasar Ekonomi Baru (DEB) tidak disenangi oleh Presiden MCA, Datuk Ong Ka Ting.
Menurutnya, beliau lebih bersetuju dengan kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa bumiputra perlu memperbetulkan kelemahan mereka, dan bukannya dengan diperkenalkan semula DEB.

Akhbar-akhbar berbahasa Cina memetik Ong sebagai berkata, rakyat Malaysia perlu melihat melewati luar sempadan negara ini.

"....mengapa kita perlu sering mengulangi soal 30 peratus ekuiti...kita perlu melihat kepada pasaran lebih besar di luar negara," katanya.

Menurutnya, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Abdul Razak juga berkata, orang Melayu perlu melihat kepada perspektif di peringkat global.

Ong menegaskan demikian dalam reaksinya kepada ucapan Ketua Pemuda Umno, Datuk Hishammuddin Hussein yang mahukan DEP diperkenal semula untuk mencapai 30 peratus ekuiti orang Melayu dalam ekonomi negara.

"Bukan bumiputra juga merupakan aset kepada negara...bukan bumiputra dan bumiputra perlu bekerjasama untuk meningkatkan lagi tahap kecekapan supaya berjaya di bawah arus globalisasi," katanya.

Timbul kebimbangan

Ong juga mengingatkan, jika kerajaan terlalu menekankan kepada pemilikan 30 peratus ekuiti untuk bumiputra, ia boleh menimbulkan kebimbangan di kalangan bukan bumiputra bahawa hak mereka tidak terjamin.

Katanya, sebaik sahaja orang Melayu memperbaiki kelemahannya, mereka akan bersedia untuk menerima kehadiran bukan bumiputra serta mengurangkan sikap syak-wasangka.

Dalam perkembangan berkaitan, Pemuda MCA membantah keras gesaan Pemuda Umno supaya diperkenalkan semula DEB.

Katanya, dasar itu yang bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup satu-satu kaum sahaja, tidak akan memberi faedah kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Bercakap dalam satu sidang akhbar tergempar semalam, Setiausaha Agung MCA, Datuk Liow Tiong Lai berkata, sepatutnya fokus hendaklah ditumpukan kepada usaha meningkatkan kecekapan negara, dan bukannya bercakap mengenai soal pembahagian kekayaan.

Sementara itu, pemimpin DAP, Lim Kit Siang pula menyifatkan gesaan supaya diperkenalkan semula DEB, merupakan satu langkah ke belakang, yang akan menjejaskan kemajuan orang Melayu dan juga negara.