Terkini Tambatan ringgit RM3.80 berbanding dolar AS yang dikenakan pada 1 September 1998 telah dimansuhkan berkuatkuasa serta-merta.

Ia akan dikendalikan secara apungan terurus berbanding sekumpulan mata wang, demikian diumumkan oleh Bank Negara Malaysia di sini hari ini.

Langkah apungan terurus itu "positif kepada ekonomi," kata Gabenor Bank pusat itu, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz di Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menemui Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Perhimpunan Agung UMNO di sini.

"Kita akan membenarkan mata wang itu menyesuaikan pertukaran yang melambangkan fundamental kita," katanya.

Dalam satu kenyataan, BNM berkata ia akan mengawasi kadar pertukaran berbanding sekumpulan mata wang bagi memastikan bahawa kadar pertukaran kekal rapat kepada nilainya yang wajar.

Penilaian semasa

"Objektif utama dasar ialah untuk meneruskan langkah menggalakkan kestabilan kadar pertukaran," kata bank pusat itu.

Perubahan dalam persekitaran kewangan dan ekonomi antarabangsa serta serantau telah menyebabkan Malaysia perlu mempunyai satu kadar pertukaran berbanding rakan-rakan perdagangan utamanya, khususnya negara-negara serantau.

Ekoran itu, kestabilan kadar pertukaran ringgit berbanding mata wang-mata wang serantau kian menjadi penting, katanya.

"Kestabilan sedemikian boleh dicapai dengan terbaik dengan mengekalkan nilai ringgit berbanding indeks wajaran perdagangan rakan-rakan perdagangan utama Malaysia," kata BNM.

Bank pusat itu juga berkata pengumuman itu merupakan satu perubahan dalam sistem di mana nilai ringgit ditetapkan.

BNM berkata "dengan mengambil kira penilaian semasa ringgit yang tekal dengan fundamental dan selepas mengambil kira kemajuan dalam negara-negara rakan perdagangan, kadar pertukaran itu yang berpindah ke sistem baru ini tidak dijangka menyimpang banyak daripada tahap sedia ada."