Tindakan Puteri Umno mengedar borang keahliannya dan mengadakan aktiviti di institusi pengajian tinggi (IPT) awam disifatkan "tidak adil" kerana bertentangan dengan dasar kerajaan sendiri.

Seorang pemimpin pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, pengedaran borang keahlian Puteri di kampus-kampus sedikit sebanyak mendedahkan penglibatan pelajar dalam politik kepartian.

"(Tindakan) ini tidak adil kerana telah dinyatakan pelajar tidak boleh terlibat dengan parti politik, maka mengedar borang Puteri Umno di kampus sesuatu tindakan yang tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Akta Universiti dan Kolej Universiti melarang pelajar terlibat dengan sebarang pertubuhan di luar kampus, termasuk parti politik dan kesatuan sekerja, kecuali dengan kebenaran Naib Canselor.

"(Tindakan) ini juga bermakna prinsip bahawa sebarang parti politik tidak boleh dibawa masuk ke kampus telah dicabuli," katanya, yang enggan namanya disiarkan, lagi.

Pemimpin pelajar itu memberitahu malaysiakini, sejak dua minggu kebelakangan ini borang Puteri Umno telah diedarkan secara "agresif" di UKM.

Menurutnya, borang itu turut diedarkan di dewan-dewan kuliah. "Pernah berlaku apabila kami masuk ke dewan kuliah, borang sudah tersedia diletakkan di atas meja," katanya.

Bersama borang itu, disertakan penerangan mengenai latar belakang pertubuhan Puteri Umno, tambahnya.

Katanya, perkara itu telah diadu kepada bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti itu dan beliau difahamkan perkara itu akan dirujuk kepada Timbalan Naib Canselor (HEP) Datuk Salleh Mohd Yassin.

Naib Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa (MPMUIA) Zaidah Idris turut menyokong pandangan pemimpin pelajar UKM itu.

"Pengedaran borang itu suatu ketidakadilan kerana ia tidak berpegang kepada prinsip yang diwar-warkan (sebelum ini) iaitu mahasiswa tidak boleh menyertai parti politik, sebaliknya hanya terlibat dalam politik kampus saja," katanya.

Tambahnya, tindakan Puteri Umno itu juga menampakkan ada usaha membawa pelajar ke arah menyertai parti politik tertentu.

Mendengar ceramah Azalina

Ditanya pengedaran borang itu, beliau berkata setakat ini usaha itu dijalankan melalui "kawan kepada kawan."

Sementara Presiden Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Mara, Nazrul Fazami Mohamad berkata JPPUiTM tidak ingin pelajar di universiti itu terlibat dengan parti politik ketika di kampus.

"Maksudnya, kita tidak mahu sebarang kaunter atau borang keahlian diedarkan di universiti ini. Kalau pelajar itu mencari sendiri borang keahlian di luar kampus, (perkara itu) terpulang kepada mereka," katanya.

Katanya, pendiriannya itu bagi mengelakkan spekulasi bahawa pelajar UiTM menyebelahi parti-parti politik tertentu.

Menurut Nazrul, sehingga kini ketua penaja Puteri Umno Azalina Othman telah mengadakan dua kali program 'power walk' di universiti itu. Dalam acara itu pada awal semester ini, pelajar-pelajar baru dijemput mendengar ceramah yang disampaikan oleh beliau sendiri.

Bagaimanapun Nazrul berkata beliau setakat ini tidak mendapat maklumat tentang pengedaran borang Puteri Umno.

Semalam, malaysiakini melaporkan beberapa pelajar di Universiti Sains Malaysia telah diterima menyertai Puteri Umno.

Menurut pelajar itu, borang keahlian diperolehi dari kauter yang dibuka di Kompleks Bukit Jambul, Pulau Pinang.

Puteri Umno ditubuhkan November lalu untuk menarik penyertaan wanita muda profesional yang kurang berminat menganggotai Wanita Umno. Ia boleh sertai oleh mereka yang berusia antara 18 hingga 35 tahun. Setakat ini jawatankuasa penaja pergerakan ini dianggotai oleh 20 ahli.