Menurut Kamus Dewan, "kafir" ditakrifkan sebagai "(orang yang) tidak percaya kepada Allah dan rasul-nya, orang yang bukan Islam"; manakala "mengkafirkan" ditakrifkan sebagai "menganggap kafir, mengatakan kafir, menganggap (memandang) jijik".

Justeru itu, tidak dapat dinafikan, tak kira istilah "kafir" itu digunakan dalam konteks "kafir-mengkafir" antara PAS dan Umno, atau ianya dirujuk kepada bukan Muslim seperti yang dilakukan oleh Raja Ahmad Zainudin Raja Omar (BN - Larut) di Parlimen, ia tetap membawa makna "menjijikkan" secara tersirat!

Jika rakyat pelbagai bangsa dalam Malaysia dianggap sebagai sama rata dari segi hak dan tanggungjawab, seperti yang diakui oleh semua pihak termasuk Umno, maka setiap bangsa patut dirujuk dengan nama bangsa terbabit, bukan digolong dalam kategori Muslim dan bukan Muslim seperti sering dilakukan, apatah lagi dibenarkan Muslim untuk mengkafirkan bukan Muslim seperti perkembangan baru-baru ini.

Cuba bayangkan, jika orang Melayu negara kita dirujuk sebagai bukan (penganut) Kristian, bukan (penganut) Buddha atau bukan (penganut) Hindu, malah dijijikkan dari perspektif agama-agama bukan Islam, tidakkah orang Melayu juga akan berasa terhina?

Namun menurut logik Badruddin Amiruldin (BN, Jerai), kerana Malaysia adalah sebuah Negara Islam, oleh itu, dari perspektif Muslim, bukan Muslim memang "kafir", "kalau u tak suka u boleh keluar dari negara ini!"

Bila "wira-wira" bangsa dan agama seperti YB dari Larut dan YB dari Jerai tampil ke depan, ia pasti mendapat sorak-sorai dan sokongan penuh daripada YB-YB Umno yang lain!

Babak perkauman

Pementasan babak-babak perkauman dan prasangka agama seperti yang tersebut di atas sering diulangi dalam Parlimen dan dilaporkan secara besar-besaran dalam semua media. Pementasan seperti ini sudah terlalu lumrah dilakukan, tetapi adakah pelakon-pelakon yang berlumba-lumba memainkan peranan "wira" bangsa dan agama terbabit, pernah memikirkan bagaimana teruk sekali mereka telah menjejaskan hubungan kaum dan agama di negara kita yang majmuk ini?

Yang ironis sekali ialah "Negara Islam" kononnya boleh diinterpretasi mengikut takrif peribadi, dan pendapat ini bukan dikeluarkan oleh orang sebarangan, tetapi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Abdullah Md Zin sendiri.

Lebih memeranjatkan ialah apa yang dinamakan "interpretasi peribadi" itu dirujuk kepada hujah Karpal Singh (DAP - Gelugor) bahawa Perlembagaan Persekutuan menyifatkan Malaysia sebagai negara sekular, bukan sebagai Negara Islam.

Dan dalam kes Che Omar Che Soh v Public Prosecutor, tambah Karpal, lima orang hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas, juga telah membuat keputusan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular.

Jika apa yang tersurat dalam Perlembagaan Persekutuan dan keputusan mahkamah mengenai sifat negara kita iaitu sama ada ianya sebuah negara sekular atau Negara Islam, seperti yang dirujuk oleh Karpal itu boleh dianggap sebagai "interpretasi peribadi", maka buat apa "Keluhuran Perlembagaan"dan "Kedaulatan Undang-undang" dijadikan Rukun Negara?

Bukankah BN yang menggubal Rukun Negara, kenapa sekarang BN juga yang menginjak-injakkannya? Dalam keadaan ini, rakyat bagaimana tidak terkeliru selepas dikelirukan?

Muslihat Dr Mahathir

Muslihat Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Malaysia sebagai Negara Islam tanpa sebarang pindaan Perlembagaan Persekutuan, bertujuan untuk "mengalahkan" PAS dalam persaingan mengislamisasikan Malaysia.

Logik beliau mudah saja: Malaysia sekarang menyandang jawatan Pengerusi OIC, Pertubuhan Negara-negara Islam seluruh dunia, Malaysia bukan saja diakui sebagai Negara Islam, malah dianggap sebagai model Negara Islam, walhal PAS hanya mulai hendak memperjuangkan sebuah Negara Islam!

Memang benar PAS bertujuan hendak memperjuangkan penubuhan sebuah Negara Islam, yang mungkin tidak begitu sesuai bagi masyarakat majmuk kita. Tetapi sekurang-kurangnya, parti itu tidak mempertikaikan bahawa Malaysia sekarang adalah negara sekular, meskipun Islam adalah agama rasminya.

Berbalik kepada isu mengkafirkan. Jika takrif Kamus Dewan boleh dijadikan pegangan, maka menganggap bukan Muslim sebagai kafir memang merupakan diskriminasi agama yang amat dikesali, kerana ia telah secara terang-terangan melanggar hak kebebasan beragama rakyat Malaysia yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat.

Saya tidak pasti sama ada dalam kaca mata Muslim, bukan Muslim itu memang kafir dan dianggap jijik, tetapi yang saya pasti ialah mendiskriminasikan rakyat yang tidak seagama dengan kita adalah bertentangan dengan apa yang tersurat dan tersirat dalam Perlembagaan Persekutuan kita, serta Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat.

YB-YB Umno yang bijaksana dan tak henti-henti bercakap tentang perpaduan nasional, tentu faham bahawa jika kita tidak suka agama lain memaksakan nilai agamanya ke atas kita, maka tidaklah wajar kita memaksakan nilai Muslim ke atas rakyat bukan Muslim.

Kalau sudah dikafirkan, bagaimana bukan Muslim dapat duduk sama rendah, dan berdiri sama tinggi dengan Muslim yang mengkafirkan mereka?

Jika rasional semudah ini juga tidak dapat difahami YB-YB Umno, ke mana mereka hendak membawa negara kita ini?