Terjemahan Berdasarkan kepada senarai penerima AP (import permit) yang diumumkan oleh Pejabat Perdana Menteri (JPM) semalam, pengiraan Ketua Pembangkang Lim Kit Siang mendapati setengah penerimanya mampu mengautkan pendapatan beratus juta ringgit daripada AP tersebut.

Menurutnya, Tan Sri Nasimuddin SM Amin, Datuk Syed Azman Syed Ibrahim, Datuk Mohd Haniff Abd Aziz dan Datuk Azzuddin Ahmad boleh memperolehi RM375 juta hingga RM472 juta daripada 28,283 AP yang diterima mereka pada nilai purata RM30,000 bagi setiap AP.

"Berdasarkan nilai purata setiap AP antara RM20,000 hingga RM40,000 di pasaran, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah menyediakan peluang Tan Sri Nasimuddin untuk memperolehi kira-kira RM375 juta daripada 12,524 yang diperolehinya," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mempersoalkan asas-asas pemberian jumlah AP yang banyak kepada Nasimuddin (foto), melalui lima buah syarikat Naza Kia Sdn Bhd, Next Car Sdn Bhd, NZ Wheel (M) Sdn Bhd, Nasim Sdn Bhd dan Naza-Brabus Sdn Bhd di antara tahun 1997 dan 2004.

Daripada sejumlah 12,524 AP tersebut, Nasimuddin memperolehi 3,112 AP pada tahun 1998.

Sementara itu, Syed Azman, Mohd Haniff dan Azzuddin menerima 15,759 AP francais melalui lima buah syarikat Weststar Motorsport Sdn Bhd, Atlantic Star Auto Sdn Bhd, Auto Pacific Star Sdn Bhd, Global World Trade Sdn Bhd dan Territorial Star Sdn Bhd.

Pujian untuk PM

Lim juga memuji langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan senarai pemegang AP yang menurutnya, boleh menjadi satu 'permulaan' untuk membanteraskan amalan kronisme dan rasuah.

Bagi AP terbuka pula, pemegangnya dibenarkan mengimport kereta baru dan kereta terpakai dari mana-mana sumber tetapi pemberian AP ini dihentikan pada 1988.

AP francais diberikan kepada syarikat-syarikat yang mempunyai perjanjian agensi eksklusif dengan pengeluar kereta asing.

Senarai meliputi 67,158 AP itu, yang diberikan seawal 1970 sehingga tahun ini, dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri petang ini ekoran timbulnya kontroversi mengenai pemberian AP.

Ini merupakan kali pertama nama penerima AP diumumkan walaupun sebelum ini para pemimpin kerajaan berkata dasar tidak menghebahkan nama mereka mereka dikekalkan.

Isu AP itu menjadi hangat apabila bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pemberiannya yang terlalu banyak telah menyebabkan berlaku persaingan tidak adil kepada kereta nasional, Proton.

Katanya, ramai pengimport membuat pengisytiharan harga yang rendah dan menjual kereta-kereta ini lebih murah daripada harganya yang sebenar.

Beliau mempersoalkan bagaimana 20 syarikat diberikan sebahagian besar daripada 50,000 AP sedangkan matlamat kerajaan adalah untuk membantu sebanyak mungkin peniaga Bumiputera dengan mengagih-agihkan permit berkenaan.

Berikutan itu, Kabinet telah meminta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz supaya menulis surat menjawab isu-isu yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir.

Jalankan siasatan

Dalam perkembangan berkaitan, Pemuda DAP berkata langkah mengumumkan senarai tersebut tidak bermakna isu AP sudah berakhir.

Sebaliknya, Pemuda DAP mempersoalkan sama ada wujud unsur-unsur salahguna kuasa dan rasuah dalam pemberian jumlah AP yang banyak kepada individu dan syarikat-syarikat terbabit.

Ia juga menggesa kerajaan supaya memansuhkan sistem pemberian AP kerana "ia telah menjadi punca wujudnya amalan kronisme dan mengakibatkan pengelakan bayaran cukai berjumlah RM1 bilion setiap tahun".

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Dr Syed Husin Ali turut menggesa supaya siasatan terperinci dijalankan berhubung perkara tersebut.

"Badan Pencegah Rasuah dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) hendaklah menyiasat. Pihak polis juga mesti dibenarkan menyiasat kerana ia membabitkan menteri," katanya ketika dihubungi.

Beliau juga mempersoalkan mengapa mereka diberi AP melalui pelbagai syarikat. "Adakah wujud kuasa tersembunyi yang berkaitan dengan syarikat-syarikat tertentu?"
Nama-nama lain dalam senarai tersebut termasuklah Datuk Mokhzani Mahathir (anak Dr Mahathir), Datuk Mohammadiah Moner, Datuk Ilyas Mohamed, Syed Hussain Syed Mohammed, Datuk Abdul Hamid Ibrahim, Datuk Mohd Nazmi Mohd Salleh, Tunku Datok Zainol Tengku Izham dan Datuk Dr Soh Thiam Hong.

Syed Azman (kiri) dan Mohd Haniff (kanan) mendapat 1,280 AP untuk mengimport kereta jenama Suzuki di bawah syarikat Global World Trade Sdn Bhd dan 896 AP lagi untuk import kereta jenama Audi di bawah syarikat Territorial Star Sdn Bhd, tahun ini.

Nasimuddin pula mengimport Kia, Mercedes Benz, Peugeot, Ferrari, modena, Maserati, Rolls Royce, Bentley dan Brabus.

Sebanyak 8,573 AP diberikan pada 1997 untuk mengimport kereta Hyundai kepada Hyumal Motor Sdn Bhd, milik Berjaya Group Bhd, Sime Darby Bhd dan Tan Sri Vincent Tan.