Perkampungan Ayah Pin diserang dengan bom api
Kira-kira 35 orang yang tidak dikenali yang bersenjatakan bom api telah menyerang perkampungan Ayah Pin di Terengganu awal pagi ini.
Kira-kira 35 orang yang tidak dikenali yang bersenjatakan bom api telah menyerang perkampungan Ayah Pin di Terengganu awal pagi ini.
Peguam pengikut kumpulan itu, Haris Mohamad Ibrahim berkata, tiada kecederaan dalam kejadian tersebut. Perkampungan tersebut menempatkan kira-kira 200 penduduk Ayah Pin atau nama sebenarnya, Ariffin Mohammad, 65, yang mendakwa dirinya Tuhan.
"Saya menerima panggilan dari jurucakap Ayah Pin Rosli Abdul Samad bahawa kira-kira 30 hingga 35 orang yang bersenjatakan parang dan berpakaian jubah serta bertutup muka, telah membalingkan bom api dan tayar yang dibakar ke dalam kawasan perkampungan tersebut," katanya.
Haris mewakili 21 pengikut Ayah Pin yang ditangkap awal bulan ini kerana memiliki dokumen-dokumen yang bercanggah dengan ajaran Islam.
Beliau menggesa pihak polis supaya menjamin keselamatan perkampungan tersebut dan penduduknya.
"Saya harap pihak kerajaan akan mengutuk serangan puak militan ke atas perkampungan tersebut," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Balai Bomba di situ, Mazlan Hashim berkata api memusnahkan sebuah kenderaan dan menyebabkan kerosakan kepada bangunan-bangunan lain.
"Penduduk di situ sempat memadam kebakaran itu sebelum pihak bomba tiba," katanya kepada AFP.
Polis di Terengganu enggan mengulas kejadian tersebut, manakala pengikut Ayah Pin pula tidak dapat dihubungi melalui telefon.
Empat anggota kumpulan itu pernah dihukum dua tahun penjara pada 1998 kerana mengisytiharkan meninggalkan Islam.
Ancaman keselamatan
Baru-baru ini, tekanan memuncak terhadap kerajaan supaya menahan Ayah Pin dan memusnahkan perkampungan tersebut.
Dalam satu kenyataan dalam sebuah akhbar bahasa Malaysia, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Abdul Hamid Othman berkata, Ayah Pin merupakan ancaman kepada keselamatan negara dan sepatutnya ditahan.
"Sudah tentunya ia mesti ditahan kerana pengaruhnya akan membahayakan, bukan sahaja agama tetapi juga kestabilan politik," katanya.
Kumpulan tersebut tidak mempunyai sebarang kitab untuk mengikutnya dan mereka bebas untuk menganuti agama pilihan mereka.
Isu agama sangat sensitif di kalangan rakyat Malaysia beragama Islam terutama jika ada yang bertindak meninggalkan Islam. Manakala pihak kerajaan pula sentiasa mengambil tindakan terhadap kumpulan-kumpulan yang dianggap sesat.
Kerajaan pimpinan PAS ketika memerintah Terengganu sehingga akhir tahun lalu, telah berusaha untuk menutupkan perkampungan tersebut pada tahun 2000, tetapi pengikut Ayah Pin telah mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalangnya.
- AFP

