Kira-kira 70 kakitangan penyelaras yang ditugaskan oleh syarikat Elegant Advisory untuk menguruskan pengedaran barangan pilihanraya, termasuk poster, banting dan air minuman kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum lalu, masih menunggu bayaran upah mereka kerana syarikat itu juga, masih menunggu bayaran daripada BN.

Jurucakap kumpulan tersebut berkata, Elegant Advisory gagal menjelaskan bayaran upah mereka berikutan kegagalannya memperolehi bayaran daripada BN walaupun sudah lebih setahun pilihanraya berlalu.

Menurut syarikat berkenaan sebelum ini, bayaran bagi kesemua barangan tersebut bernilai kira-kira RM200 juta.

Pada masa ini, pihak pembekal barangan tersebut, termasuk sebuah syarikat dari Hong Kong kini berdepan dengan masalah kewangan, kerana tidak mendapat bayaran dari Elegant Advisory, atas sebab yang sama, sehingga ramai daripadanya sudah gulung tikar.

"Kira-kira 70 penyelaras pilihanraya dilantik oleh Elegant Advisory untuk menguruskan tugas tersebut. Berikutan itu, kami ditempatkan di asrama di sebuah kedai berhampiran pejabatnya di Danau Kota.

"Selama kami bertugas di situ, tempat tinggal dan makan minum kami di restoran berhampiran, ditanggung oleh pihak syarikat. Dalam surat perlantikan, kami akan memperolehi upah yang lumayan bagi kerja-kerja tersebut apabila pihak syarikat mendapat bayaran dari BN bagi barangan yang diedarkan sebelum pilihanraya umum lalu," katanya.

Menurutnya, sebelum pilihanraya umum lalu, mereka bekerja bertungkus lumus tanpa mengira masa, untuk menguruskan pengedaran bahan-bahan pilihanraya itu kepada pihak BN dan Umno peringkat negeri dan bahagian dari seluruh negara.

Bukti rakaman pengedaran

"Setiap penghantaran lengkap dengan invoisnya dan penerimaan disahkan bersama cop BN dan Umno bahagian atau negeri yang menerima barangan tersebut," tambahnya.

Malah, tegasnya, pihaknya juga ada membuat rakaman urusan pengedaran dan penerimaan poster, banting, bekalan air minuman dan barangan yang lain.

"Jadi, kami ada bukti bahawa semua barangan pilihanraya tersebut telah diedarkan kepada pihak BN/Umno di seluruh negara sebelum pilihanraya umum Mac tahun lalu," tambahnya.

Bagaimanapun, jurucakap tersebut berkata, mereka terperanjat apabila diberitahu oleh Elegant Edvisory yang syarikat itu belum menjelaskan bayaran upah mereka, seperti yang dijanjikan, kerana syarikat berkenaan belum menerima bayaran dari pihak BN.

"Kami diberitahu yang masalah yang sama turut dihadapi oleh para pembekal barangan berkenaan.

"Bagaimana pihak BN enggan menjelaskan bayarannya kerana mereka yang menerima semua bekalan tersebut...Malah, sebahagian besar poster ataupun banting yang dipasang sewaktu pilihanraya tersebut adalah yang kami bekalkan. Dan kami ada bukti mereka mengambilnya," katanya.

Kerana terdesak oleh masalah kewangan, katanya, mereka telah menulis surat rayuan kepada beberapa pemimpin tertinggi BN dan Umno, termasuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (foto surat) yang turut disertaikan dokumen-dokumen yang berkaitan dengannya.

Katanya, surat tersebut dihantar melalui setiausaha Perdana Menteri yang telah berjanji kepada mereka untuk menyerahkan surat terebut kepada Abdullah dan akan berusaha untuk membantu mereka.

Surat rayuan pada Pak Lah

Bagaimanapun, katanya, pihaknya amat kecewa sekali kerana tiada apa yang berlaku selepas itu, termasuk janji-janji untuk menemukan mereka dengan beberapa pemimpin tinggi Umno untuk membincangkan perkara tersebut.

"Takkanlah pucuk pimpinan Umno, termasuk Datuk Seri Abdullah sendiri, tidak boleh buat apa-apa untuk membantu supaya bayaran tersebut dibuat kepada syarikat terbabit, kerana BN dan Umnolah yang menggunakan poster, banting, malah air minuman sewaktu pilihanraya umum lalu.

"Selagi BN tidak menjelaskan bayaran bagi barangan pilihanraya tersebut, maka kami tidak akan dapat apa-apa bayaran upah. Pak Lah, kesihanlah pada kami...kami ada anak, ada keluarga untuk ditanggung," katanya.

Menurutnya, kakitangan penyelaras terbabit adalah terdiri daripada pesara tentera dan polis di mana umur mereka agak lanjut untuk mendapatkan pekerjaan di tempat lain.

"Kami menerima tawaran kerja di Elegant Advisory kerana dijanjikan bayaran upah yang lumayan dan dirasakan mencukupi untuk menampung sisa-sisa hidup kami dan keluarga...," katanya.

Beliau juga berkata, ada di kalangan kakitangan terbabit berdepan dengan masalah keluarga, sehingga bercerai-berai, walaupun pada umur yang sudah lanjut, kerana masalah hutang rumah dan kereta yang tidak dapat dilangsaikan kerana masih menunggu upah bayaran tersebut.

"Empat pekerja terkorban kerana terbabit dalam kemalangan jalanraya sewaktu pulang dari kampung mereka untuk kembali bertugas di Kuala Lumpur. Jika BN membuat bayaran, maka kami juga akan mendapat bayaran, dan ianya dapat meringan beban hidup keluarga yang mereka tinggalkan.

"Malah, kira-kira 18 kakitangan terbabit telah bercerai-berai, juga kerana masalah yang sama. Saya sendiripun kini berdepan dengan masalah hutang rumah dan kereta, kerana tiada wang untuk menjelaskan. Keluarga kami menderita sekarang...jadi tolonglah kami Pak Lah...

"Kami juga berharap agar ada perwakilan yang bersimpati dengan nasib kami dan membangkitkan perkara ini sewaktu perhimpunan agung Umno mulai Rabu ini.

"Mereka patut membantu kami kerana kami juga ahli-ahli Umno dan BN yang didokong oleh Umno menang besar dalam pilihanraya umum lalu...," katanya.

Ditanya, apakah langkah selanjutnya jika rayuan mereka kepada pucuk pimpinan Umno dan BN tidak membuahkan sebarang hasil, beliau berkata: "Kami mungkin terpaksa menggunakan dokumen dan bukti-bukti yang kami simpan, untuk menuntut hak kami..."