Saya, sebagai anak watan Johor, senantiasa mengikuti perkembangan politik Johor dan juga YB Dato yang masih tetap mantap dan segar di dalam politik tanahair. Syabas saya ucapkan kepada YB Dato' yang terus menerus menunjukkan kewibawaan dan ketokohan, baik dari segi pembangunannya dan juga pemikiran rakyatnya.

Sebagai Ahli Parlimen Johor Bahru dan juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), saya ingin mengemukakan kepada YB Dato beberapa saranan yang mungkin dapat membantu orang Melayu secara keseluruhan menjelang Perhimpunan Agung Umno minggu depan. Berikut adalah cadangan cadangan saya:

1. Masalah pengangguran graduan Melayu mestilah diselesaikan segera agar tidak menjadi masalah besar yang mungkin memudaratkan kita dalam jangkamasa terdekat ini. Golongan muda Melayu ini dipinggirkan dari peluang yang boleh disediakan oleh badan-badan kerajaan dan syarikat swasta terbesar di Malaysia dengan mengadakan program program "on-job-training" dengan pembayaran upah yang minimum.

Sebagai seorang pengurus sumber manusia selama lebih 20 tahun dan pernah bekerja di syarikat Amerika yang terbesar di negara ini, graduan menganggur pernah memberitahu satu seminar agar mereka diberi peluang mendapatkan pengalaman bekerja secara 'attachment' walaupun tanpa gaji!

Saya mencadangkan pihak kerajaan mengarahkan syarikat besar mengadakan "Skim graduan bekerja tanpa gaji" di mana mereka ini hanya dibayar elaun sara hidup RM1,000 selama enam bulan dan selepas itu, pihak majikan boleh putuskan sama ada melepaskan mereka atau mengambil mereka bekerja.

Di Tenaga Nasional Berhad (TNB) umpamanya, saya dengar mereka menyediakan skim graduan sangkut yang dibayar elaun RM1,300 sebulan tanpa menikmati faedah skim yang lain. Melalui cara itu, syarikat besar seperti Gamuda, TNB, Telekom Malaysia, Petronas, Perodua, Proton dan Maxis dan banyak lagi, dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada graduan yang dilatih tersebut.

2. Kerajaan juga boleh menyediakan pekerjaan kepada graduan menganggur ini dengan memberhentikan dengan bayaran pampasan, kakitangannya yang dikategorikan sebagai "tidak berprestasi". Melalui cara ini, sekurang-kurangnya 50,000 peluang pekerjaan dapat disediakan.

3.Akibat krisis kewangan 1999 Asia Tenggara, ramai orang Melayu menjadi muflis, walaupun secara langsung atau tidak langsung, bukan kerana angkara mereka sendiri. Kebanyakannya masih mampu menyumbangkan tenaga untuk negara dan bangsa. Jadi, saya ingin cadangkan pihak Umno dan kerajaan mengadakan skim membolehkan mereka mengeluarkan caruman daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja untuk menjelas hutang piutang mereka kepada Pejabat Pemegang Amanah.

Umpamanya, ada kawan saya yang diisytihar muflis disebabkan pinjaman tidak berbayar yang telah diperolehi rakan karibnya sebanyak RM17,000, sedangkan caruman kawan saya dalam KWSP berjumlah RM500,000! Ini tidak termasuk jumlah harta berupa rumah dan tanah yang beliau punyai. Adalah tidak logik sekiranya pihak tertentu mengarahkan beliau melunaskan hutang rakannya itu dengan menjualkan harta harta beliau yang lain.

Saya berharap juga jika sekiranya perlu kerajaan meminda akta KWSP untuk membolehkan pencarum menggunakan wang KWSP untuk melunaskan hutang, ia mesti dilaku secara rasional dan logik untuk kepentingan negara dan bangsa, terutamanya bangsa Melayu.

Saya sangat berharap agar YB Dato' dapat mengusulkan cadangan-cadangan di atas agar diterima oleh para perwakilan Umno di perhimpunan nanti.