Mahkamah Rayuan hari ini menolak dengan kos rayuan Majlis Peguam terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan mesyuarat agung tahunan ke-59 Majlis Peguam sebagai batal dan tidak sah.

Panel Hakim Datuk Denis Ong Jiew Fook, Datuk Abdul Aziz Mohamed dan Datuk James Foong sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu kerana AGM itu diteruskan tanpa kuorum satu perlima seperti yang disyaratkan oleh Akta Profesion Guaman (LPA) 1976.

Bagaimanapun, peguam Sulaiman Abdullah, yang mewakili Majlis Peguam memaklumkan mahkamah bahawa Majlis Peguam akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan Isnin depan, bagi menangguhkan pelaksanaan keputusan tersebut.

Mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Pada 27 Mei, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Md Raus Sharif membenarkan permohonan peguam Louis Edward Van Buerle, dari Pulau Pinang supaya AGM itu dibatalkan.

Dalam penghakimannya, Md Raus berkata kuorum diperlukan untuk menganjurkan AGM ke-59 Majlis Peguam di bawah Seksyen 64 LPA.

Pada masa ini, Majlis Peguam mempunyai 11,755 ahli dan kuorum satu perlima diperlukan, berjumlah 2,351 orang.

Beliau berkata, hanya 1,152 ahli Majlis Peguam yang menghadiri AGM itu pada 19 Mac lalu.