SKMM tidak terima aduan rasmi terhadap malaysiakini
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) tidak menerima sebarang aduan atau laporan rasmi berhubung laporan 'jenaka April Fool' dalam malaysiakini tentang penangkapan tiga menteri dan seorang menteri besar atas kesalahan rasuah.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) tidak menerima sebarang aduan atau laporan rasmi berhubung laporan 'jenaka April Fool' dalam malaysiakini tentang penangkapan tiga menteri dan seorang menteri besar atas kesalahan rasuah.
Bagaimanapun, Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Lim Kheng Yeik, berkata SKMM sedang mengkaji kemungkinan berlaku sebarang kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
Menurutnya, SKMM telah menghantar surat kepada Pejabat Peguam Negara pada 22 April lalu memohon penjelasan sama ada kes ini akan disiasat oleh suruhanjaya tersebut di bawah Akta AKM 98 atau mengarahkan agensi penguatkuasa lain mengambil tindakan di bawah undang-undang yang sewajarnya.
"Sekiranya Jabatan Peguam Negara memutuskan perkara ini disiasat di bawah AKM 98, SKMM akan memulakan siasatan dengan menyediakan kertas siasatan dengan mengambil kenyataan dari pihak yang terlibat," katanya dalam jawapan bertulis kepada Ketua Pembangkang Lim Kit Siang di Dewan Rakyat semalam.
Beliau berkata, kertas siasatan itu akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Neara untuk tindakan pendakwaan.
"Sekiranya Jabatan Peguam Neara berpendapat terdapat kes prima facie, dan kemungkinan untuk menang adalah besar, pendakwaaan mungkin akan diteruskan. Sebaliknya, jika didapati kes tidak kukuh, pendakwaan mungkin tidak akan diteruskan," katanya.
Kuasa Peguam Negara
Artikel 145(3) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Peguam Negara untuk meneruskan atau menangguh dakwaan.
Mengikut Seksyen 233 AKM 1998, adalah menjadi kesalahan menggunakan perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi, untuk membuat dan memulakan penghantaran komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengungut atau mengganggu orang lain.'
Katanya, jika sabit kesalahan, pesalah tersebut boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh yang tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan akan didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Selain itu, katanya, kes tersebut juga boleh disiasat di bawah akta-akta lain seperti Akta Hasutan atau Akta Fitnah yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia.
Malaysiakini, com telah 'menyiarkan' jenaka April Fool itu 1 April 2005 melalui laporan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah memberi 'lampu hijau' kepada Pejabat Peguam Negara untuk mendakwa tiga anggota kabinet dan seorang menteri besar atas tuduhan rasuah.

