Permohonan ikat jamin remaja Rohingya ditangguh
Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menetapkan 24 Mac sebagai tarikh baru untuk mendengar permohonan ikat jamin seorang remaja Rohingya yang ditahan sejak lebih tiga bulan lalu.
Hakim, Datuk Ghazali Cha, membuat keputusan itu selepas mendengar hujah daripada timbalan pendakwa raya, Mahathir Khairuddin, serta peguam yang mewakili keluarga remaja pelarian itu, Collin Arvind Andrew.
Menurut Collin, pihaknya sudah bersedia meneruskan perbicaraan hari ini namun Mahathir meminta mahkamah menangguhkan kes berkenaan selama dua minggu.
Kata Mahathir, tempoh itu diperlukan untuk mereka menjawab afidavid yang dikemukakan pihak peguam bela.
"Kami baru menerima permohonan (ikat jamin) ini semalam dan ia termasuk beberapa afidavid sokongan.
"Saya memohon tarikh baru dan sementara itu saya akan menyediakan jawapan balas yang dirasakan perlu," katanya.
Antara lain, kata Mahathir, pihaknya akan mendapatkan penjelasan daripada pegawai penyiasat mengenai status remaja terbabit serta laporan daripada pakar psikologi.
Bagaimanapun Collin berhujah, tempoh tahanan yang berpanjangan akan memberi kesan negatif kepada tahap mental remaja lelaki itu.
Peguam itu juga berkata, pihaknya mencadangkan remaja itu dibebaskan untuk dijaga sebuah pertubuhan perlindungan kanak-kanak, Yayasan Chowkit.
Pelarian Rohingya berusia 15 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah pada 11 Disember tahun lalu.
Dia ditahan di kawasan Balai Polis Dato Abu Bakar Baginda di Sepang.
Pada 28 Februari lalu Mahkamah Majistert Sepang menolak permohonan remaja itu untuk dibebaskan dengan ikat jamin.
Dia kemudian memfailkan permohonan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi mengetepikan perintah tahanan berkenaan mengikut Akta Kanak-kanak 2001 dan Artikel 22 Konvensyen Hak Asasi Kanak-kanak yang melindungi pelarian yang ingin mendapatkan suara daripada didakwa.

