Kerajaan belum memutuskan tempoh akhir penggunaan kad pengenalan lama sebagai dokumen pengenalan diri yang diiktiraf, kata Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Azmi Khalid.

Katanya, ini kerana kerajaan melihat kepentingan penduduk luar bandar di Sabah dan Sarawak yang perlu dipertimbangkan dan diberi perhatian.

Bercakap kepada pemberita di Kuching hari ini, Azmi berkata, kesukaran penduduk luar bandar di Sabah dan Sarawak dari segi lokasi tempat mereka tinggal dan kekurangan infrastruktur yang dialami sekarang perlu diambil kira.

"Buat masa ini kita menggalakkan mereka untuk menukar kad pengenalan mereka kepada MyKad secepat mungkin yang boleh,"katanya.

Mengenai kadar bayaran untuk menukar kad pengenalan lama ke MyKad selepas 31 Disember ini, Azmi berkata ia belum ditetapkan oleh kerajaan.

Mengenai lawatan sehari ke Sarawak, beliau berkata, ianya untuk melihat kelicinan penggunaan MyKad sebagai dokumen pengenalan diri bagi pelawat dari Semenanjung dan Sabah memasuki negeri itu.

Masih guna pasport

"Saya lihat masih ramai yang belum mengetahui MyKad boleh digunakan untuk memasuki pintu utama negeri ini kerana kebanyakan masih bawa pasport," katanya.

Bagi pelawat yang memiliki MyKad, penggunaan pasport tidak diperlukan manakala bagi pemilik kad pengenalan lama, mereka terpaksa menunggu lama kerana pegawai imigresen perlu memasukkan maklumat ke dalam sistem simpanan data sebelum dibenarkan masuk.

Menurut laporan Bernama, mereka yang menggunakan MyKad untuk memasuki Sarawak dikehendaki menandatangi resit yang diberikan kepada mereka.

Terdapat sembilan pintu masuk utama di negeri itu yang menerima MyKad iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Lapangan Terbang Sibu, Lapangan Terbang Bintulu, Lapangan Terbang Miri, Lapangan Terbang Mulu, Lapangan Terbang Limbang, Pejabat Imigresen Lawas, Jeti Lawas dan sempadan Merapok.