Suhakam tidak perlu mohon maaf
"Kita (Suhakam) bukan tidak berbuat apa-apa. Kita buat apa yang sepatutnya. Kita membantu menyelesaikan perkara yang diadukan atau yang kita rasa melanggar hak asasi manusia," jelas Profesor Hamdan Adnan.
Semalam penaja parti itu, kini di peringkat jawatankuasa penaja, meminta Suhakam memohon maaf kerana didakwa gagal menjalankan tugasnya menangani aduan berhubung isu itu. PRIM menuduh Suhakam masih tidak menghantar surat kepada Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman.
"Tidak semestinya semua perkara perlu kita (Suhakam) selesaikan melalui surat. Dalam isu Kampung Medan (Petaling Jaya Selatan), sebenarnya kami telah maklumkan kepada Datuk Dr Siti Zaharah secara tidak rasmi. Maka, tidak benar jika dituduh Suhakam tidak berbuat apa-apa berhubung aduan PRIM itu," katanya.
Hamdan berkata PRIM tidak berhak menentukan langkah-langkah yang patut diambil badan hak asasi itu - sama ada mengadakan pertemuan secara terbuka atau tertutup bagi isu itu.
"Ia (ulasan PRIM itu) seolah-olah mengajar Suhakam menjalankan tugas. Mereka berhak mengemukakan rayuan untuk meminta bantuan kami, tetapi bukannya menentukan apa yang perlu Suhakam lakukan," tambahnya.
Menurutnya, Suhakam mempunyai langkah dan prinsipnya sendiri dalam siasatan.
Dalam kejadian itu pada Mac lalu, enam orang terbunuh dan 52 yang lain cedera. PRIM sering mendesak Suhakam menjalankan siasatan dan pertemuan terbuka terhadap tragedi itu.

