Kang Chol boleh ditangkap jika...
Ketika jarum jam terus berjalan dan tempoh yang diberikan kian menghampiri penamat, tidak dapat dipastikan sama ada Duta Korea Utara, Kang Chol, masih berada di negara ini atau sudah keluar.
Kang Chol yang diumum kerajaan sebagai persona non grata (orang tidak dikehendaki) sejak semalam sepatutnya meninggalkan Malaysia dalam tempoh 48 jam jam.
Namun, bagaimana jika dia tetap enggan dan sebaliknya kekal di kedutaan itu?
Sumber dipetik Utusan Online semalam memberitahu pihak berkuasa negara ini tidak boleh menahan duta terbabit jika dia mengingari arahan dan bersembunyi di kedutaan berkenaan.
Kata sumber yang tidak didedahkan identitinya itu Kang Chol hanya boleh ditahan jika pihak keselamatan Malaysia menemuinya di luar bangunan Kedutaan Korea Utara dan tempoh 48 jam diberikan itu berakhir.
“Pihak berkuasa tidak boleh masuk ke bangunan kedutaan jika duta terbabit enggan keluar,” katanya.
Semalam Wisma Putra mengumumkan kerajaan mengusir Kang Chol keluar dari negara ini selepas gagal hadir ke kementerian terbabit seperti diarahkan.
Kang Chol sepatutnya memberi penjelasan berhubung beberapa dakwaan dibuatnya mengenai Malaysia ketika kes pembunuhan Kim Jong-nam masih terus disiasat.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam kenyataan berkata, duta Korea Utara sepatutnya bertemu dengan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Raja Nushirwan Zainal Abidin.
"Bagaimanapun, tiada duta mahupun para pegawai kanan kedutaan hadir di kementerian.
"Beliau dijangka meninggalkan Malaysia dalam masa 48 jam dari masa yang dijadualkan untuk mesyuarat itu, iaitu jam 6 petang, 4 Mac 2017," kata Anifah.
Mengikut tempoh yang diberikan itu, detik terakhir Kang Chol mesti keluar dari Malaysia ialah jam 4 petang ini.
Menjelaskan alasan pengusiran tersebut, kata Anifah, para pegawai Kementerian Luar yang diketuai oleh Raja Nushirwan pada Selasa bertemu dengan delegasi peringkat tinggi Korea Utara yang diketuai oleh Kim Song.

