Polis Malaysia menafikan dakwaan rakyat Korea Utara Ri Jong-chol, yang sebelum ini ditahan dalam siasatan terhadap pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, kononnya beliau menjadi mangsa pakatan yang didakwa untuk merosakkan kehormatan negaranya.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata polis hanya menjalankan tugas ketika menyiasat segala aspek kes itu.

Jong-chol, 47, ditahan bagi memudahkan siasatan terhadap pembunuhan Kim Jong-nam pada 13 Feb di Lapangan Terbang Antarabangsa KL2 (klia2) tetapi dihantar pulang semalam kerana kekurangan bukti.

"Dia (Jong-chol) boleh buat apa saja kenyataan tetapi polis buat kerja mengikut prosedur yang ditetapkan dan telah membebaskan beliau kerana tiada bukti kukuh," katanya kepada Bernama ketika dihubungi malam tadi.

Bercakap di Beijing dalam perjalanan pulang ke Korea Utara, Jong-chol dilaporkan menuduh penyiasat Malaysia menggunakan tekanan bagi memaksanya membuat pengakuan.

Noor Rashid menafikan ini.

Mengenai keputusan Malaysia mengisytiharkan Duta Besar Korea Utara, Kang Chol, kini sebagai persona non grata dan diberi tempoh 48 jam untuk meninggalkan negara ini, Noor Rashid berkata Jabatan Imigresen akan memastikan diplomat itu keluar dari Malaysia.

Menurut laporan, Jong-nam sedang menunggu penerbangannya ke Macau di klia2 apabila dua wanita tiba-tiba menyapu mukanya dengan cecair beracun yang kemudiannya dikenal pasti sebagai agen saraf VX.

Jong-nam dilaporkan mendapatkan bantuan di kaunter khidmat pelanggan di lapangan terbang itu dan segera dikejarkan ke Hospital Putrajaya tetapi meninggal dunia semasa dalam perjalanan.

Beliau menggunakan pasport atas nama Kim Chol.

- Bernama