DAP hari ini memulakan kempen bagi menggesa empat juta rakyat Malaysia yang layak mengundi pada pilihan raya akan datang, untuk mendaftar sebagai pengundi.

Kempen ini dimulakan selepas parti itu mendapati penurunan drastik dalam bilangan pendaftaran pengundi baru selepas pilihan raya umum 2013.

Menurut Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendedahkan bahawa 1.02 juta orang didaftarkan sebagai pengundi baru pada tahun 2011 manakala hanya sejumlah 617,000 berbuat demikian sepanjang tahun 2013 hingga 2015.

"Ini adalah purata 206,000 setahun (antara 2013 dan 2015), satu penurunan besar-besaran," katanya pada sidang media hari ini.

"Pengundi baru yang layak meningkat sebanyak 500,000 setiap tahun, ini bermakna bahawa pengundi tidak berdaftar akan meningkat lebih cepat daripada pengundi berdaftar."

Pua menggesa mereka untuk tidak melepaskan hak untuk mengundi kerana pilihan raya umum akan datang dijangkan tidak lama lagi.

"Kami menjangkakan pilihan raya akan datang akan diadakan selepas September.

"Untuk membolehkan kamu mengundi dalam pilihan raya akan datang, kamu perlu mendaftar sebelum akhir Mac ini," katanya, sambil menambah bahawa SPR akan mengambil masa lima hingga enam bulan untuk melengkapkan proses pendaftaran pengundi baru.

"Ini adalah panggilan terakhir. Jika kamu tidak berpuas hati dengan kerajaan, perubahan adalah di tangan anda."

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Chieng dan Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun.

[Baca berita penuh]