Pemimpin kanan Umno hadapi tuduhan rasmi
Kesemua pertuduhan rasmi perbuatan rasuah politik melibatkan seorang pemimpin kanan Umno akan dikemuka dan dibacakan di hadapannya apabila beliau menghadap lembaga disiplin parti Khamis ini.
Kesemua pertuduhan rasmi perbuatan rasuah politik melibatkan seorang pemimpin kanan Umno akan dikemuka dan dibacakan di hadapannya apabila beliau menghadap lembaga disiplin parti Khamis ini.
Sumber dalaman Umno berkata tuduhan rasmi terhadap individu terbabit yang didakwa melakukan perbuatan itu semasa pemilihan parti September lepas, akan turut mengandungi bukti-bukti yang dikumpul daripada keterangan para saksi.
"Sama ada tertuduh mengaku salah atau sebaliknya, keterangan akan tetap diambil daripadanya bagi membantu lembaga disiplin dalam membuat keputusan," katanya.
Menurut sumber itu, proses pertuduhan dan langkah memberi peluang kepada tertuduh untuk membela diri pada hari berkenaan adalah sama seperti yang diamalkan sebelum ini.
"Tertuduh akan bersendirian bagi menghadapi lembaga disiplin," katanya kepada Bernama.
Menurutnya, identiti mereka yang mengemukakan bukti dan tuduhan terhadap pemimpin Umno itu juga akan kekal sebagai rahsia bagi membolehkan proses siasatan berjalan lancar.
"Malahan, orang yang kena tuduh pun tidak tahu siapa yang membuat tuduhan terhadap dia," katanya.
Beliau berkata, jika perlu, seperti sistem perbicaraan di mahkamah, lembaga disiplin akan mengemukakan saksi-saksi bagi pertuduhan itu.
"Tapi bagi peringkat awal, pemanggilan saksi di hadapan tertuduh untuk beri keterangan mungkin tidak perlu," katanya.
'Bagi habuan'
Ditanya siapakah pemimpin kanan berkenaan, sumber itu enggan memberitahu kecuali meminta media untuk menunggu pagi Khamis ini di ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.
Sementara itu, Utusan Malaysia melaporkan hari bahawa Lembaga Disiplin telah menerima akuan bersumpah daripada 40 orang dalam kes terhadap pemimpin kanan tersebut.
Menurutnya, selain pengakuan tersebut, beberapa orang ketua bahagian termasuk dari Sabah dan Pahang juga akan dipanggil, kerana bertindak sebagai 'pengurus kempen' membantu pemimpin terbabit.
Sebagai contohnya, Utusan memetik sumber-sumber sebagai berkata, ketua bahagian Umno dari Pahang telah mengadakan kenduri arwah yang turut dihadiri pemimpin kanan tersebut bersama-sama dengan ejen-ejen beliau.
Menurut sumber tersebut, di majlis berkenaan, ejen-ejen itu dikatakan telah memberi habuan kepada para perwakilan agar mengundi pemimpin kanan itu dalam pemilihan parti.
Sementara itu, Lembaga Disiplin Umno yang akan memulakan siasatan dan dakwaan terhadap beberapa pemimpin kanan parti yang didakwa melanggar tataetika parti semasa pemilihan jawatan tertinggi parti pada tahun lalu, menghadapi satu tugas berat dalam memastikan kredibilitinya tidak terjejas.
Lembaga Displin Umno yang dipengerusikan oleh Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen tiada jalan lain bagi memulihkan kredibiliti pasukan itu kecuali dengan membanteras rasuah politik dari peringkat akar umbi hingga ke peringkat tertinggi dengan tindakan tegas, selain telus dalam menangani masalah itu.
Laporan yang mengatakan lembaga disiplin akan memanggil beberapa pemimpin kanan parti mulai Khamis ini, pasti menjadi petanda jelas bahawa Umno sememangnya serius hendak mengatasi gejala itu.
Sehingga ini, dilaporkan sebanyak enam orang pemimpin kanan parti telah disenaraikan untuk dipanggil menghadap lembaga disiplin.
Setakat ini, aduan yang diterima adalah melibatkan anggota lelaki parti itu yang merupakan bilangan terbesar yang bertanding untuk merebut jawatan-jawatan tertinggi dalam parti.
Dalam perhimpunan Agung Umno lepas, sebanyak 212 calon bertanding merebut pelbagai jawatan parti, termasuk 51 orang bertanding merebut 25 kerusi Majlis Tertinggi dan tujuh calon bertanding merebut tiga jawatan Naib Presiden Umno.
Pada pemilihan itu, Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Tan Sri Muhyiddin Yassin memenangi jawatan Naib Presiden.
Isa dan Mohd Ali adalah muka baru bagi jawatan Naib Presiden manakala Tan Sri Muhammad Muhammad Taib yang kini Ketua Penerangan Umno gagal mempertahankan jawatan itu.
Lembaga itu sebelum ini telahpun membuat "kejutan" apabila mengambil tindakan terhadap beberapa pemimpin di peringkat bahagian yang didapati melanggar etika pemilihan parti.

