MARA tak jadi panggil Annuar hari ini
Kumpulan petugas media yang menunggu Tan Sri Annuar Musa sejak awal pagi di pejabat Majlis Amanah Rakyat (MARA) di ibu negara hampa apabila pengerusi majlis itu yang digantung tugas tidak kunjung tiba.
Bagaimanapun, Annuar yang juga ketua penerangan Umno berkata beliau tidak tahu menahu sama berkaitan siasatan Jawatankuasa Audit Dalaman MARA hari ini.
“Saya tidak tahu menahu (dan) langsung tidak dipanggil atau dimaklumkan (mengenai mesyuarat itu).
“(Kamu) kena tanya MARA,” katanya.
Semalam pengerusi sementara MARA dan Pelaburan MARA Berhad (PMB) Datuk Dr Yusof Yacob berkata anggota Jawatankuasa audit dalaman majlis itu akan bermesyuarat hari ini dan akan memanggil Annuar.
Yusof berkata, untuk berlaku adil, Annuar dipanggil bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah terhadapnya.
MARA minggu lalu menggantung jawatan Annuar serta merta. Beliau juga disoal siasat empat jam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan penjajahan majlis itu.
Terserah pada JK audit
Sementara itu Yusof ketika dihubungi hari ini berkata Annuar tidak jadi dipanggil hari ini.
“Tan Sri Annuar Musa tidak dipanggil, kerana ia mesyuarat pertama kali dan tidak pasti berapa kali (mesyuarat ini diadakan).
“Biar (kita) buat kerja dan (kita) tak perlu publisiti… Saya tak tahu bila Tan Sri Annuar Musa akan dipanggil.
“Terpulang kepada anggota jawatankuasa (audit) untuk panggil,” katanya.
Yusof berkata beliau tidak terlibat dalam mesyuarat itu dan dan enggan mendedahkan anggota-anggotanya.
Difahamkan, mesyuarat tersebut bermula pada jam 2.30 petang ini.
Sementara itu, Pegawai Komunikasi MARA Ahmad Soffian Mohd Shariff berkata pihaknya tidak akan mengeluar sebarang kenyataan berhubung mesyuarat itu.
“MARA tidak akan mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi pada hari ini. Pihak MARA akan menghubungi media sekiranya ada kenyataan rasmi yang akan dikeluarkan nanti,” katanya.

