Penyanyi Beyonce mengumumkan hamil anak kembar kepada 93.3 juta pengikutnya di Instagram semalam.

Bersama-sama gambar dimuat naik, Beyonce mempamerkan perutnya dan menulis: “Kami ingin berkongsi kasih sayang dan kegembiraan.

“Kami amat bertuah dapat dua bayi sekaligus. Kami amat bersyukur keluarga ini akan membesarkan dua orang anak dan terima kasih untuk semua ucapan,” tulisnya.

Beyonce mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Rap, Jay Z dan dikurniakan anak perempuan Blue Ivy yang kini berusia lima tahun.

Penyanyi Single Ladies, 35, sebelum ini mengumumkan dia mengandungkan Ivy ketika mengadakan persembahan secara langsung di Anugerah MTV Video Music pada September 2011.

Beyonce dan Jay Z atau nama sebenarnya Shawn Carter berkahwin pada 2008 selepas lima tahun berkenalan dan mengadakan beberapa kolaborasi bersama termasuk hit Crazy In Love 2003.

Terdahulu, foto Beyonce hamil itu memecahkan rekod di Instagram apabila mendapat 6.4 juta like dan lebih 350,000 komen hanya dalam masa lapan jam setelah di muat naik.

Dalam masa sejam pertama, foto berkenaan mendapat 2.4 juta like dan 166,000 komen.

Angka itu memecahkan rekord like terbanyak di Instagram yang dipegang Selena Gomez.