Biras 'gembira' Bahri adu ke polis
Biras bekas pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noraihan Che Ali, berharap laporan polis yang dibuat ke atasnya dapat mendorong pihak berkuasa mempercepatkan siasatan kes berkenaan.
Kata Noraihan, kemelut yang berlaku selama ini menyebabkan dia dan keluarga hidup dalam ketakutan serta kesedihan "yang amat sangat".
"Saya amat berharap agar laporan polis oleh Datuk Bahri ini akan mendorong pihak Polis Diraja Malaysia untuk mempercepatkan siasatan mereka terhadap perkara ini yang telah menyebabkan saya serta keluarga hidup dalam ketakutan dan kesedihan yang amat sangat selama lebih satu tahun yang berlalu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Noraihan, apa yang diharapkan ketika ini cumalah keadilan buat dirinya dan keluarga selepas mereka dibelenggu oleh 'mimpi buruk' sejak kematian suaminya.
"Oleh itu ingin sekali lagi saya tegaskan di sini bahawa kes ini adalah kes kekeluargaan dan bukannya kes berprofil tinggi yang menjadi kepentingan orang ramai," katanya.
Pada 20 Januari lalu Noraihan mengadakan sidang media di Subang Jaya dan mendakwa Datuk Bahri Mohd Zin mengarahkan satu pasukan penyiasat dari Bahagian Operasi Khas SPRM menggeledah rumahnya di Kota Bharu pada Januari tahun lepas.
Bahri adalah ketua bahagian berkenaan ketika itu.
Pengarah Kolej Islam Sains dan Teknologi (Kist) itu mendakwa dokumen yang berkaitan dengan kolejnya serta perniagaan lain telah dirampas pegawai SPRM.
Noraihan menambah, para pegawai terbabit memberitahunya mereka "menjalankan tugas dan mengikut arahan bos".
"Saya tanya siapa bos mereka, Bahrikah? Mereka kata, mereka hanya ikut arahan. Sebab itu saya syak dia (Bahri)," katanya.
Untuk makluman, isteri Bahri dan adik kepada suami Noraihan, Muhamad Zamly Abdullah, yang juga pemilik Kist.
Nafi pengaruhi polis, SPRM
Muhamad Zamly meninggal dunia pada September 2015 dan meninggalkan aset bernilai RM100 juta, selain hutang RM85 juta.
Ekoran itu, Noraihan mendakwa berlaku pertikaian keluarga.
Lanjutan daripada dakwaan itu, Bahri membuat laporan polis terhadap Noraihan awal minggu ini di Kelantan.
Dalam laporan yang dilihat Malaysiakini itu Bahri berkata Noraihan membuat laporan palsu terhadap apabila mendakwa beliau menyalah guna kuasa dengan mengarahkan serbuan ke rumah birasnya itu.
Bahri juga menafikan dakwaan Noraihan bahawa beliau mempengaruhi SPRM dan polis untuk tidak menyiasat beliau atau isterinya, Datin Noor Haslina Abdullah.
Kata bekas pegawai kanan SPRM itu, siasatan terhadap Noraihan dibuat berdasarkan laporan - di Kelantan - terhadap dakwaan penipuan tanda tangan suami Noraihan berkaitan harta tanah bernilai RM4 juta.
“Saya lebih awal mengisytiharkan kepentingan saya secara bertulis kepada pihak atasan saya kerana khuatir wujud konflik kepentingan memandangkan isteri serta adik beradiknya juga terlibat dalam kes tersebut.
“Justeru operasi siasatan tersebut dipimpin oleh pegawai lain, bukan sama sekali saya,” kata laporan itu.
Menurut Noraihan, dia menyambut baik laporan polis dibuat Bahri pada minggu lalu.
Dia juga menuntut supaya Bahri, SPRM dan polis menjelaskan bagaimana isu perebutan harta pusaka - yang menjadi hak isteri dan anak jika mengikut hukum Islam - boleh menjadi kes kepentingan awam berprofil tinggi hingga memerlukan penglibatan Bahagian Operasi Khas SPRM.
"Saya juga berbesar hati sekiranya Bahri atau SPR dan polis boleh menjelaskan apakah hasil siasatan Bahagian Operasi Khas SPRM terhadap saya dan kenapa dokumen-dokumen berkenaan peninggalan harta allahyarham suami saya yang dirampas oleh mereka dalam serbuan lebih setahun lalu di rumah dan pejabat saya masih hingga kini tidak dipulangkan?
"Saya ingin mengulangi kenyataan peguam saya Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar bahawa kes ini merupakan kes perebutan harta pusaka allahyarham suami saya kerana kononnya terdapat satu wasiat yang telah dibuat suami saya dan dikemukakan oleh pihak Noor Haslina dengan menamakan ahli keluarganya sebagai waris yang sah sambil mengetepikan saya serta anak lelaki saya," katanya.
Untuk makluman, Bahri pernah menjadi tumpuan ramai apabila bersumpah dengan nama Allah untuk menjejak dalang di sebalik penahanan anggota bahagian diketuainya ketika mereka menyiasat bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.
Beliau memilih untuk bersara awal kerana kecewa dengan perjalanan serta hasil siasatan dijalankan ke atas syarikat berkenaan.
Malaysiakini melaporkan, Bahri juga berasa tidak wajar untuknya berkhidmat dengan "undang-undang sarang labah-labah" yang hanya memerangkap pesalah kecil rasuah dan melepaskan yang lain.

