DBKL kaji semula tarikh penghuni Flat Pekeliling berpindah
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengakui berlaku kelemahan dalam urusan pemindahan 2,100 keluarga Flat Pekeliling ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Seri Rampai, Setapak, Kuala Lumpur, kata Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengakui berlaku kelemahan dalam urusan pemindahan 2,100 keluarga Flat Pekeliling ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Seri Rampai, Setapak, Kuala Lumpur, kata Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua.
Berikutan itu, katanya, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan DBKL, Zulkifli Ibrahim berjanji akan mengkaji semula arahan pemindahan termasuk membenarkan mereka membuat rayuan terhadap arahan sebelum ini.
Selain itu, katanya, Zulkifli juga memberitahu, tarikh akhir pemindahan yang ditetapkan sebelum ini pada 21 Jun, juga akan dikaji semula kerana ia tidak sesuai lagi berikutan beberapa kelemahan tersebut serta memberi jaminan DBKL tidak akan mengusir penghuninya.
"Zulkifli juga berkata, penghuni yang tidak mahu menyewa rumah PPR Seri Rampai, boleh berbuat demikian dan orang kurang upaya akan diberi rumah di tingkat lima dan ke bawah. Mereka yang tidak mampu boleh memohon pinjaman perpindahan dari DBKL," katanya.
Tian memberitahu pemberita demikian di Bangunan DBKL hari ini, selepas mengetuai delegasi PKR untuk menyerahkan memorandum membantah pemindahan penghuni dan langkah untuk merobohkan Flat Pekeliling.
Zulkifli menerima memorandum tersebut bagi pihak Datuk Bandar Kuala Lumpur yang menurutnya berada di luar negara. Hadir sama ialah Ketua Perhubungan PKR Wilayah Persekutuan, Dr Sanusi Osman; Naib Ketua Angkatan Muda PKR, S Manikavagam dan beberapa pemimpin PKR yang lain.
Menurut Tian Chua, Zulkifli meminta penduduk yang tidak berpuashati dengan arahan pemindahan yang dikeluarkan oleh DBKL supaya mengemukakan rayuan melalui kaunter Bahagian Perumahan di flat berkenaan.
Kurang bayaran sewa
Bagaimanapun, katanya, DBKL tetap mengenakan sewa bulanan sebanyak RM124 dan tidak dapat mengurangkan sewa kerana ia sudah ditetapkan oleh kerajaan.
"Sebahagian penduduk Flat Pekeliling, terutama yang kurang berkemampuan, memohon DBKL mengurangkan bayaran sewa kerana mereka tidak mampu," katanya.
Beliau berkata, Zulkifli berterima kasih atas inisiatif yang dibuat oleh PKR dengan menyalurkan masalah penghuni Flat Pekeliling terus kepada DBKL untuk diambil tindakan lanjut.
Dalam memorandum tersebut, penduduk membantah kerana DBKL tidak membayar pampasan yang sewajarnya kepada penghuni Flat Pekeliling dan mendakwa rumah PPR di Seri Rampai lebih kecil.
Mereka juga mendakwa, pemindahan ke Seri Rampai menyebabkan penghuni terpaksa menanggung kos pengangkutan dan akan berlaku kerosakan perabot.
Sehubungan itu, penghuni mahu DBKL menilai rumah yang mereka beli mengikut harga semasa dan diganti mengikut harga pasaran.
"Kami juga meminta DBKL menggantikan tapak gerai atau rumah kedai dan memberi jaminan itu secara bertulis, sebelum kami dipindahkan ke PPR Seri Rampai," katanya.
Dalam memorandum itu, 415 penghuni Blok C dan Blok G Flat Pekeliling bercadang memfailkan perintah mahkamah terhadap DBKL manakala PKR akan menyediakan peguam kepada mereka.

