Perlawanan Kelantan, Melaka United ditunda
Perlawanan bola sepak Liga Super antara Kelantan dan Melaka United yang dijadual berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, malam ini ditunda ke suatu tarikh lain berikutan cuaca buruk.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Datuk Ismail Md Noor berkata, pihaknya bersetuju dengan keputusan mesyuarat bersama Komisioner Perlawanan yang memutuskan untuk menunda perlawanan itu selepas mengambil kira beberapa faktor.
"Keputusan tersebut dibuat setelah kami melakukan pemeriksaan terhadap permukaan padang, dan turut mengambil kira faktor kecederaan pemain, keselesaan penonton dan kesan kepada fasiliti stadium.
"Perlawanan itu akan ditunda kepada satu tarikh yang akan ditetapkan nanti," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beberapa kawasan rendah di negeri itu mula ditenggelami air berikutan hujan lebat yang berterusan sejak malam semalam.
Terdahulu, dua perlawanan Liga Perdana malam tadi melibatkan pasukan Kuantan FA menentang UiTM FC di Kuantan dan Terengganu menentang PKNP FC di Kuala Nerus, terpaksa ditangguhkan ke tarikh baharu akibat hujan lebat.
Perlawanan antara Terengganu dan UiTM FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pula dihentikan pada minit ke-11 ekoran padang becak, licin serta air bertakung.
-Bernama

