Sejak tiga tahun lalu, Nor dan suaminya hidup dalam keadaan tidak menentu kerana masalah rumah mereka di Subang 2, dekat Shah Alam.

Disebabkan menanggung tunggakan bayaran pinjaman bank, kediaman itu kemudian dijadual untuk dilelong. Lebih memburukkan keadaan, pasangan terbabit diisytihar muflis.

Kini mereka menarik nafas lega. Pasangan yang enggan nama sebenar mereka didedahkan itu mendapat bantuan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang berjaya merundingkan masalah berkenaan dengan pihak bank bagi meringankan beban mereka.

Untuk sementara Nor dan suaminya boleh terus tinggal di rumah berkenaan dan tidak akan dilelong.

Affin Bank Berhad - yang menyediakan pinjaman - pula bersetuju membatalkan status muflis mereka.

"Sekarang saya boleh senyum sikit hinggalah saya dapat kepastian mengenainya secara hitam putih," kata Nor di sidang media PPIM di Kuala Lumpur hari ini.

Kes pasangan suami isteri berusia 42 tahun itu menjadi perhatian ramai terutama di media sosial pada tahun lalu apabila seorang lelaki - dikenali sebagai Lee Hui Sen - memenangi bidaan rumah itu.

Lee dilaporkan kemudian bersetuju membenarkan pasangan terbabit terus tinggal di rumah berkenaan walaupun itu bermakna wang pendahuluan RM44,500 yang dibayarnya akan hangus.

Nota bertulis tangan daripada Lee yang menyatakan rasa simpatinya itu dikongsi dengan meluas di media sosial tetapi cubaan untuk mengesannya setakat ini gagal.

Kata Nor, rumahnya itu pernah dilelong bank sebanyak lima kali sejak 2014. Namun lelongan kali pertama dibatalkan kerana faktor pertikaian cara baru pembayaran semula.

Lelongan kedua dan ketiga pula gagal menarik pembeli seperti yang diharapkan.

Lee kemudian memenangi lelongan kali ketiga itu.

Presiden PPIM Datuk Nadzim Johan berkata hasil rundingan, Affin Bank bersetuju membatalkan lelongan kali kelima yang sepatutnya diadakan pada 10 Januari lalu.

"Mereka juga bersetuju untuk terus memberikan pinjaman baru bagi membolehkan pembiayaan terdahulu diselesaikan.

"PPIM sekarang menunggu tindakan Affin Bank untuk membatalkan status muflis pasangan terbabit," katanya sambil menggesa institusi kewangan lain mencontohi bank terbabit dalam isu sama.

Kata Nadzim, mengisytiharkan seseorang muflis sepatutnya jalan terakhir dibuat pihak penyedia pinjaman bagi mendapatkan semula wang mereka.

[Baca berita penuh]