Media Prima kuasa Channel 9
Media Prima Bhd telah meningkatkan rangkaian televisyen siaran percumanya kepada tiga saluran dengan pemilikan 98 peratus pegangan dalam Ch-9 Media Sdn Bhd yang bernilai RM40.61 juta.
Media Prima Bhd telah meningkatkan rangkaian televisyen siaran percumanya kepada tiga saluran dengan pemilikan 98 peratus pegangan dalam Ch-9 Media Sdn Bhd yang bernilai RM40.61 juta.
Ch-9 Media Sdn Bhd adalah pengendali stesen televisyen swasta ketiga negara Channel 9.
Dalam satu kenyataan hari ini, Media Prima berkata ia akan mengambil alih jumlah yang dihutang oleh Ch-9 kepada pemegang sahamnya yang berjumlah RM28.56 juta.
Syarikat itu berkata jumlah pembayaran bagi ekuiti dan pendahuluan pemegang saham dibayar dalam tempoh tiga tahun bagi menyamai jangkaan pendapatan berpotensi daripada operasi stesen itu di masa depan.
Menurut Bernama, Channel 9 dilancarkan pada 9 Sept, 2003, dan mempunyai liputan di kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia.
Bagaimanapun, berikutan persaingan sengit dalam industri televisyen negara stesen itu menamatkan operasinya pada Februari tahun ini bagi melaksanakan penyusunan semula hutang dan korporat menyeluruh.
Media Prima berkata ia merancang untuk terus menyiapkan penyusunan semula hutang dan korporat sedia ada yang ketika ini sedang diusahakan oleh Ch-9 Media sebelum memulakan semula operasi stesen itu pada 2006.
Aset media Media Prima kini termasuk TV3 dan 8TV, dan pelbagai terbitan harian di bawah New Straits Times (Press) Malaysia Bhd.

