Program Zoom Kartun yang dijadual berlangsung esok di Summit Subang USJ memberi peluang kepada peminat animasi dan komik mengintai lebih dekat personaliti artis di belakang tabir.

Presiden Persatuan Animasi Malaysia (Animas) Amir Hamzah berkata, menerusi pendedahan diberikan kepada masyarakat, organisasi itu berharap dapat menggalas tanggungjawab sebagai pemangkin dalam industri kreatif sebaik mungkin.

“Pasaran masa kini sudah berevolusi, tempat artis bukan saja di belakang tabir, bagi yang ingin bersemuka secara realiti, Zoom Kartun adalah tempatnya untuk berbuat demikian.

“Zoom Kartun juga sesuai dijadikan ruang komuniti kreatif berkomunikasi bagi membincangkan komik, animasi dan hobi mereka,” katanya kepada Malaysiakini.

Acara yang dijadual bermula pukul 10 pagi dan dijangka berakhir 6 petang itu turut mendapat sokongan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Menurutnya, beberapa aktiviti yang akan mengambil tempat adalah pelancaran produk animasi terbaru Mboo terbitan Nibiru Pictures Sdn Bhd. Ia menampilkan pelawak Ropi Cecupak - watak utama untuk lakon suara dalam Mboo.

Tokoh animasi Hassan Muthalib pula akan bertemu peminat dalam sesi santai diadakan bagi membincangkan buku terbitan beliau From Mousedeer to Mouse.

Selain itu, Forum Komik Kompilasi rakan Kartunis (Jenama X) turut diadakan. Jenama X adalah buku terbaru dari kumpulan kartunis dari majalah Ujang sebelum ini.

10 kartunis iaitu Gayour, Ubi, Nik, Bawang, Sukun, Sireh, Aie, Tmbakau, Bijan, lengkuas bergabung menerbitkan kompilasi bersama.

Zoom Kartun bagi Amir dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri.

Amir berkata, program yang menggabungkan animasi, komik dan hobi sekali gus itu dilihat dapat membina jaringan pasaran lebih meluas.

Menurutnya, untuk menghidupkan kembali zaman kegemilangan industri kreatif itu seperti sebelum ini, perlu ada pembaharuan yang difikir di luar kotak khususnya dalam penerbitan komik.

“Kita perlu menggabungkan unsur tradisi dan transformasi seperti menghasilkan animasi dan produk sampingan seperti aplikasi mudah alih, permainan video serta berdamping terus bersama masyarakat,” katanya.