Terjemahan Harapan Helman Sanuddin untuk menyambung pengajiannya selepas dibebaskan daripada tuduhan menyertai perhimpunan haram, kini musnah apabila permohonanya itu ditolak oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Helman, 28, telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut melalui sepucuk surat yang diterimanya daripada universiti tersebut minggu lalu.

Beliau merupakan pelajar tahun ketiga, dan hanya tinggal setahun sahaja lagi untuk menamatkan pengajiannya dalam jurusan teknologi maklumat, apabila dia ditahan dan seterusnya digantung pengajiannya oleh pihak universiti.

Surat bertarikh 8 Mei itu menyebut peraturan akademik universiti berkenaan bahawa tempoh pengajiannya tamat secara automatik akibat penggantungan pengajiannya di bawah Akta 174.

Oleh itu, kata surat tersebut, permohonan Helman untuk menyambung pengajiannya, yang telah tertangguh selama hampir empat tahun, tidak diluluskan.

Surat tersebut ditandatangani oleh Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Nasuddin Othman.

Peraturan akademik tersebut menyebut masa penggantungan dianggap sebagai tempoh pengajian, manakala Akta 174 di bawah Akta (Disiplin) Institusi Pendidikan 1976, mempunyai peruntukan mengenai perkara berkaitan disiplin dalam institusi pendidikan.

Nasuddin tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan lanjut mengenai perkara tersebut.

'Tidak mengejutkan'

Helman berkata, dia tidak terperanjat dengan keputusan tersebut dan akan mendapatkan nasihat peguamnya mengenai tindakan selanjutnya.

Helman, serta enam pelajar lagi, telah dihadapkan ke mahkamah pada tahun 2001 kerana didakwa mengambil bahagian dalam demonstrasi anti-ISA di luar Masjid Negara di Kuala Lumpur pada 8 Jun tahun yang sama.

Ketujuh-tujuh mereka yang lebih dikenali sebagai'ISA 7', dilarang menghadiri kuliah oleh universiti masing-masing Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia and UiTM.

Bagaimanapun, mahkamah membebaskan mereka daripada tuduhan tersebut April lalu.

Sebelum ini, mereka pernah membuat rayuan kepada Kementerian Pelajaran, tetapi menteri ketika itu, Tan Sri Musa Mohamed berkata mereka akan diterima semula jika meminta maaf, tetapi mereka enggan berbuat demikian.

Berikutan keputusan mahkamah itu, lima daripada mereka telah memohon kepada universiti masing-masing supaya diterima semula melanjut pelajaran mereka. Setakat ini, hanya Helman yang telah menerima surat jawapan.