Lebih 100 wartawan Nanyang Siang Pau dan China Press, kini dikuasai MCA, bersama aktivis badan bukan kerajaan (NGO) terus mengadakan bantahan di depan pejabat akhbar itu selama lebih sejam semalam.

Acara menyala lilin itu, yang bermula pukul 8 malam, turut dipenuhi ucapan dan nyanyian. Ia diadakan sempena genap sebulan syarikat akhbar itu dikuasai parti pemerintah tersebut.

Selain kain-kain rentang yang menggesa kebebasan akhbar, pagar depan pejabat itu dipenuhi ribuan riben kuning yang dijadikan simbol kempen mereka sejak sebulan lalu.

Beberapa orang pegawai polis berpakaian seragam dan biasa berada tidak jauh daripada kumpulan wartawan itu, bagaimanapun tiada arahan bersurai dikeluarkan.

Dalam satu kenyataan bersama yang diedarkan oleh kumpulan wartawan dan kakitangan Nanyang Press Holdings pada acara itu, pembelian MCA itu dianggap "hari paling gelap dalam sejarah media berbahasa Cina di Malaysia."

Mereka mendakwa, dasar penerbitan dua akhbar utama berbahasa Cina itu turut diubah atas arah pemilik yang baru. MCA sebelum itu bertegas parti itu, melalui syarikat pelaburannya Huaren Holdings, tidak akan campur tangan dalam dasar penerbitan.

Pada 28 Mei lalu, kumpulan wartawan itu dengan sokongan pelajar dan aktivis NGO turut mengadakan perhimpunan bantahan di tapak yang sama, berdekatan pintu masuk pejabat akhbar Nanyang Siang Pau di Petaling Jaya, Selangor. Bantahan juga turut diadakan di depan pejabat China Press di Bangsar, Kuala Lumpur pada tengahari itu.

'Hari berkabung'

"Keputusan mesyuarat agung luar biasa MCA bukannya bermakna berakhirnya perjuangan bagi mendapatkan kebebasan akhbar," kenyataan itu dipetik.

Ahad lalu, kira-kira 53 peratus daripada 2,216 perwakilan parti itu memilih untuk menyokong langkah pengambilalihan itu.

Mesyuarat itu diadakan selepas wujud pertikaian hangat selama beberapa minggu antara penyokong pembelian dua akhbar itu, diketuai oleh Presiden Datuk Seri Ling Liong Sik, dengan kumpulan penentang yang diketuai Timbalan Presiden Datuk Lim Ah Lek.

Kumpulan wartawan akhbar itu, dalam kenyataan yang sama, menyifatkan kemenangan tipis kumpulan Ling sebagai "berakhirnya sokongan Cina terhadap MCA yang telah menentang hasrat kaum itu (yang menolak pembelian Nanyang)" dan "membawa sikap bermusuhan dengan masyarakat (Cina) yang didakwa diwakilinya."

Mereka mengadakan acara bantahan yang serupa di depan Wisma MCA, di Kuala Lumpur, selepas beberapa jam parti itu menamatkan mesyuarat agung itu.

Kumpulan itu bercadang mengadakan bantahan - dianggap "hari berkabung" - yang serupa pada tarikh itu setiap bulan.

Mereka juga menyifatkan tarikh pengambilalihan itu sebagai "hari yang memalukan seluruh wartawan di negara ini."