Kenyataan Menteri Besar Terengganu Abdul Hadi Awang untuk meneruskan pelaksanaan negara Islam menimbulkan "krisis yang serius" kepada pakatan pembangkang, kata Setiausaha Agung DAP hari ini.

"Beliau tahu menubuhkan negara Islam bukan objektif Barisan Alternatif, kenyataannya itu telah wujudkan krisis yang serius kepada BA," kata Kerk Kim Hock, mengulas hasrat pemimpin PAS itu.

Akhbar The Star hari ini melaporkan Hadi sebagai berkata: "PAS akan tetap menubuhkan negara Islam di Malaysia jika ia memenangi pilihan raya umum akan datang."

"Yang penting, kami (PAS) diberi peluang mewujudkan negara Islam dan saya yakin pemimpin-pemimpin DAP akan menerimanya (cadangan itu) jika mereka mendapat gambaran sebenar maksud negara Islam," kata Hadi, juga Timbalan Presiden PAS, kepada akhbar itu.

Menurut Kerk lagi, DAP "tidak bertolak ansur untuk menubuhkan negara Islam" walau dua parti itu pernah bekerjasama dalam pilihan raya umum 1999.

"(Kerjasama itu) untuk menafikan majoriti dua pertiga yang selalu diperolehi Barisan Nasional dan mempertahankan keadilan, kebebasan dan demokrasi di negara ini," katanya.

Menurut satu laporan lain dalam akhbar yang sama, Timbalan Pengerusi DAP Karpal Singh pula berkata parti itu "tidak ada pilihan lain" kecuali menarik diri daripada pakatan pembangkang jika PAS meneruskan hasrat itu.

Sementara Naib Presiden Gerakan Datuk Dr S Vijayaratnam, dalam kenyataannya kepada malaysiakini hari ini, mendakwa tiga lagi parti pembangkang itu hanya diperalatkan oleh PAS untuk mencapai cita-cita negara Islam.

"Apabila PAS sudah berkuasa nanti, Parti Keadilan Nasional, DAP dan Parti Rakyat Malaysia tidak lagi relevan dan akan diketepikan begitu sahaja," katanya.

Vijayaratnam seterusnya mendakwa PAS juga menunggang isu bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meraih sokongan.

Pengerusi DAP Lim Kit Siang pula berkata penubuhan negara Islam "bercanggah dengan manifesto bersama BA" ketika pilihan raya umum lalu.

Katanya, isu itu dibantah DAP bukan kerana anti-Islam tetapi sistem pemerintahan yang dihasratkan oleh PAS itu "tidak akan membolehkan rakyat mengamalkan hak-hak kewarganegaraan mereka" dan juga "tidak sesuai bagi masyarakat majmuk seperti Malaysia."