Terjemahan Sekali lagi, pertandingan merebut jawatan timbalan presiden menjadi tumpuan lebih 1,000 perwakilan yang menghadiri Muktamar PAS di Kelantan minggu ini.

Pada muktamar tahun 2003, perebutan bagi jawatan tersebut membabitkan pertandingan satu lawan satu yang dimenangi oleh Senator Hasan Shukri (ulamak) yang menewaskan Datuk Mustafa Ali (profesional).

Manakala muktamar hujung minggu ini bakal menyaksi pertandingan tiga penjuru bagi merebut jawatan timbalan presiden di mana kesemua calon-calonnya terdiri daripada golongan ulama dalam parti itu.

Dan yang lebih menarik lagi, ketiga-tiga calon tersebut juga mewakili tiga generasi dalam parti PAS Hasan (penyandang), Nasharuddin Mat Isa (setiausaha agung) dan Datuk Abdul Halim Abdul Rahman (bendahari dan bekas menteri besar Kelantan).

Para pemerhati berkata, keputusan pertandingan itu juga akan mencerminkan kekuatan golongan yang mahukan perubahan kepimpinan dilakukan dalam muktamar kali ini. Sebahagian besarnya golongan pemuda yang sering mengkritik pucuk pimpinan secara terbuka kerana gagal melakukan pembaharuan dalam parti.

Muktamar tersebut akan dirasmikan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada hari Jumaat, manakala agenda utamanya pemilihan parti dijadual berlangsung pada hari Sabtu. Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat akan mengadakan muktamar masing-masing esok.

Desakan untuk pembaharuan

Pada tahun lalu, Dewan Pemuda kepimpinan ketua barunya Salahuddin Ayub, menuntut supaya dilakukan perubahan dalam pentadbiran serta strategi parti berikutan kekalahan teruk PAS dalam pilihanraya umum lalu.

(PAS menang 27 kerusi Parlimen dalam pilihanraya umum 1999, tetapi kini hanya tinggal lima kerusi sahaja. Selain kehilangan Terengganu kepada Barisan Nasional (BN) pada 2004, parti itu juga hampir tewas kepada BN di Kelantan, yang diperintahnya sejak 1999).

Tidak sepertimana kritikan-kritikan sebelum ini, yang lama kelamaan dilupakan, tetapi tuntutan perubahan dan pembaharuan dalam pucuk pimpinan PAS kali ini menjadi semakin kuat, yang menurut Salahuddin, bukanlah sesuatu yang menghairankan.

"Dewan Pemuda memang sentiasa lantang dan konsisten dalam usaha kami untuk kebaikan parti. Itulah identiti kami," katanya.

Beliau yakin keinginan kepada perubahan itu akan dicerminkan dalam pemilihan barisan pucuk pimpinan oleh para perwakilan minggu ini.

"Isyarat untuk perubahan itu boleh dilihat daripada pencalonan yang dibuat oleh kawasan. Ia menunjukkan ahli-ahli menerima mesej kami bahawa (parti) perlukan perubahan.

"Fokus kami tahun ini ialah untuk menangani cabaran masa depan parti. Kami mahu menekankan kepada para pemimpin bahawa PAS mesti dapat membaca trend semasa, dan maju ke hadapan.

"Kita tidak mahu dilihat sebagai parti yang mundur dan kita mesti memaparkan imej nasional. Ia mesti membuktikan sebagai pesaing sebenar kepada Umno dan bukannya sebuah parti yang sesuai untuk orang Kelantan dan Terengganu sahaja. Kita mesti membina imej nasional," katanya.

Agenda belum tercapai

Bagaimanapun, masih terdapat ahli-ahli yang merasakan barisan kepimpinan sekarang, walaupun menjadi sasaran kritikan berikutan kekalahan teruk parti dalam pilihanraya umum lalu, masih tidak mengambil dayausaha serius untuk memperbaiki keadaan.

Malah, kata seorang ahli politik dari Terengganu, agenda-agenda yang diputuskan dalam muktamar tahun lalu pun, masih belum tercapai.

"Apa yang kita telah capai sejak muktamar lalu? Apakah ada perubahan? Kosong. Malah, (exco Pemuda) Mujahid (Yusof Rawa) mengakui bahawa desakan untuk perubahan tidak diambil serius," katanya.

Bagaimanapun, ketika menjawab dakwaan tersebut, Salahuddin berkata adalah tidak adil bagi ahli-ahli untuk membuat kenyataan umum terhadap barisan kepimpinan sekarang kerana ramai di antara meraka yang bekerja kuat untuk menjayakan agenda tersebut, walaupun ada yang belum tercapai.

"Sejak itu, dua peristiwa penting berlaku. Satu ialah usaha memperkasakan kepimpinan ulama di mana timbalan mursyidul am Dr Haron Din telah membuat penyelidikan dan kerja yang ekstensif. Kedua, desakan kita supaya diwujudkan sebuah pergerakan untuk menarik wanita remaja, membawa hasil dengan penubuhan Puteri Nisa.

"Ada agenda yang tidak dapat dicapai sepenuhnya seperti penubuhan pergerakan politik komtemporari untuk menaikkan lagi PAS, dan kerjasama dengan (Parti Keadilan Rakyat) Datuk Seri Anwar Ibrahim belum dimulakan," tambahnya.

Namun begitu, pemerhati parti itu percaya usaha-usana untuk membawa pembaharuan dalam parti itu amat bergantung kepada barisan kepimpinan baru.

Siapa yang paling baik?

Seorang perwakilan pemuda dari Kedah berkata, calon terbaik untuk membantu kepimpinan Abdul Hadi yang menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden ialah Nasharuddin.

"Hasan telah gagal membuktikan beliau boleh membawa parti maju ke hadapan. Manakala prestasi Abdul Halim sebagai timbalan menteri besar juga masih dipersoalkan. Yang tinggal ialah Nasharuddin.

"Pastinya pilihan terbaik ialah Dr Haron Din tetapi kita tidak bernasib baik kerana beliau terpaksa menarik diri kerana sakit jantung," katanya.

Bagaimanapun, seorang perwakilan dari Selangor yang juga mahukan perubahan, percaya Abdul Halim merupakan calon terbaik kerana pengalaman luasnya dalam politik.

"Beliau berpengalaman di peringkat negeri dan pusat. Malah Nik Aziz (Nik Mat, yang juga Mursyidul Am PAS dan Menteri Besar Kelantan) menyokong beliau.

"Prestasi Nasharuddin sebagai setiausaha agung tidaklah begitu cemerlang. Tetapi Nasharuddin baru 43 tahun, dia masih muda dan masih banyak peluang untuknya (di masa depan)," katanya.

Manakala Ketua Pemuda PAS Mohamad Husin menegaskan, faktor umur tidak semestinya dijadikan isu apabila para perwakilan membuat pilihan mereka.

"Umur tidak pernah menjadi satu faktor (pemilihan) dalam PAS. Dalam sejarah PAS, allahyarhan Datuk Fadzil Noor menjadi setiausaha agung ketika berumur 30 dan menjadi timbalan presiden ketika berusia 46 tahun," katanya.

Menurutnya, setiap perwakilan mempunyai tugas untuk memilih calon-calon yang terbaik kerana mereka akan dipertanggungjawabkan dengan tugas berat untuk memastikan parti itu tetap relevan dalam pilihanraya umum akan datang.