Nilai ringgit dan turun naiknya menerima kesan daripada aktiviti dan harga dalam pasaran kontrak hadapan tanpa serahan (NDF) luar pesisir yang tidak semestinya mencerminkan asas-asas ekonomi dan aktiviti yang menyokong perdagangan dan pelaburan, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

BNM mengehendaki bank-bank tempatan mematuhi peraturan sedia ada bagi menghalang pemudahan pasaran NDF ringgit luar pesisir selaras dengan dasar ringgit yang mantap.

"Langkah ini adalah untuk melindungi kepentingan sektor ekonomi benar dan pelabur yang benar-benar ingin melabur dalam pasaran kewangan Malaysia daripada sebarang turun naik ringgit yang tidak diingini," menurut BNM dalam kenyataan, hari ini.

BNM berkata, pasaran kewangan Malaysia kekal terbuka dengan adanya pematuhan yang berkesan.

Mudah tunai terus tersedia untuk menyokong operasi pasaran kewangan Malaysia yang lancar dan teratur sebagai pengantara keperluan peserta pasaran, menurut bank pusat itu.

BNM berkata, sepanjang minggu 14 hingga 18 Nov, sebanyak RM39.7 bilion dan US$49.1 bilion diurusniagakan masing-masing dalam pasaran bon dan pertukaran asing Malaysia, berbanding sebanyak RM17.8 bilion dan US$31.6 bilion masing-masing yang diurusniagakan pada minggu sebelumnya.

Peserta bukan pemastautin, seperti syarikat, pengurus aset dan dana global, serta bank penyelesai dan kustodian terus menjalankan urus niaga dalam pasaran kewangan Malaysia, menurut BNM.

"Pengantara bagi urus niaga tersebut ialah 58 buah bank tempatan di Malaysia, termasuk 19 bank asing, yang merupakan subsidiari bank serantau dan global yang besar.

"Beberapa bank asing telah memulakan perbincangan dengan BNM mengenai keperluan transaksi pasaran kewangan mereka untuk memudahkan peralihan yang lancar dalam tempoh ini, tanpa menyebabkan gangguan kepada pasaran," menurut BNM.

Bank pusat itu juga berkata, merujuk kepada ucapan Gabenor BNM, Datuk Muhammad Ibrahim semasa majlis makan malam tahunan anjuran Persatuan Pasaran Kewangan Malaysia pada 18 Nov, 2016, anggota Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) mengalu-alukan pengumuman usaha dan strategi untuk terus memperkukuh mudah tunai dalam pasaran tempatan, dan pada masa yang sama memberi lebih fleksibiliti
kepada peserta pasaran untuk menguruskan risiko pertukaran asing dengan bank tempatan.

BNM berkata, FMC bersedia untuk melaksanakan usaha tersebut serta mengadakan perbincangan dan berinteraksi dengan pihak industri untuk menyokong pelaksanaan yang cekap dan berkesan.

- Bernama