Dianggap sebagai antara musuh nombor satu gerakan reformasi di hujung 1990-an lalu hari ini Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan secara terbuka - beliau tidak bermasalah menyokong gerakan berkenaan.

Pada masa sama Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu berharap gabungan pembangkang yang bersatu dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) dapat menerima partinya demi menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak sebagai pemimpin negara.

"Kami harap BERSATU akan diterima Pakatan Harapan supaya kita dapat bersama-sama jatuhkan pemimpin kleptokrasi. Saya tidak ada masalah menyokong reformasi," kata Mahathir.

Kenyataan itu dianggap bermakna kepada penyokong PKR yang lahir daripada insiden pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno pada 1998.

Dr Mahathir menjadi tokoh utama yang melakukan penyingkiran berkenaan dan ia kemudian mencetuskan gelombang reformasi di seluruh negara.

Keadaan itu membawa kepada kekalahan ketara BN dalam pilihan raya umum ke-10 pada 1999.

Bekas perdana menteri keempat itu berkata demikian ketika berucap dalam Konvensyen Pakatan Harapan di Shah Alam hari ini.

Mengulas lanjut Dr Mahathir berkata tidak benar Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin menentang penyertaan parti berkenaan ke dalam HARAPAN.

Sebaliknya kata Dr Mahathir, Muhyiddin dan beliau bersependapat untuk menyertai gagasan berkenaan secara langsung kerana berkongsi pandangan bahawa negara ini perlu dibebaskan daripada kepimpinan Najib.

"Percayalah saya - Muhyiddin, Mukhriz dan pemimpin lain dalam BERSATU akan berusaha selesaikan sedikit sebanyak keraguan mengenai tandatangan perjanjian itu, tetapi percayalah kita akan sertai HARAPAN," katanya.

Muhyiddin sebelum ini dilaporkan berkata BERSATU menangguhkan penyertaan dalam HARAPAN kerana ingin mendapatkan kerjasama dengan PAS.

PAS ketika ini mengambil sikap mengadakan pakatan sendiri dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia dan membawa konsep "politik matang dan sejahtera".

Hubungan buruk PAS dan DAP semasa kewujudan Pakatan Rakyat sebelum ini mendorong parti itu menolak HARAPAN.

Sementara itu Dr Mahathir menyatakan kegembiraannya melihat perpaduan parti pembangkang seperti ditunjukkan mereka pada konvensyen hari ini.

“Saya kagum tengok ramai yang hadir. Selepas ini, saya harap BERSATU diterima dalam Pakatan Harapan untuk bersama-sama (melawan BN),” katanya.