Pemimpin Umno yang berkhidmat di bawah teraju Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terus menjadikan presiden paling lama parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan parti DAP sebagai sasaran mereka.

Terbaru, ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mendakwa Dr Mahathir kini adalah boneka kepada DAP.

Katanya, Dr Mahathir berada di barisan hadapan bagi menjatuhkan kerajaan sedia ada dan usaha itu turut dilakukan DAP.

“Secara tak langsung boleh dianggap (Dr Mahathir boneka DAP).

“Beliau adalah salah seorang barisan depan yang DAP boleh gunakan dan hasrat DAP untuk lihat keruntuhan kerajaan yang ada sekarang,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Semalam Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa mendakwa DAP kini cuba memecahkan Melayu dengan meletakkan calon pilihan mereka dalam parti pembangkang.

Dakwanya, langkah itu sebagai usaha DAP memerintah negara secara senyap dan menjadikan wakil Melayu 'sebagai boneka'.

Jelasnya, strategi DAP kini adalah meletakkan calon mereka dalam PKR, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Selain itu dakwanya DAP cuba memecahkan orang Melayu dengan menjalinkan kerjasama dengan bekas Dr Mahathir Mohamad, bekas ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden AMANAH Mohamad Sabu.

Tutup akhbar

Mengulas lanjut, Shebery berkata, DAP kini boleh dianggap sebagai parti yang dominan, selain itu katanya mana-mana parti yang boleh memenuhi hasrat DAP adalah boneka kepada parti itu.

“Sekarang pun sudah dilihat parti yang jadi boneka kerana apa yang DAP tak boleh tawarkan adalah perdana menteri.

“Saya kira siapa sahaja yang boleh memenuhi hasrat DAP untuk melihat kerajaan sekarang ini jatuh, saya kira mereka adalah sebahagian boneka-boneka yang dikehendaki oleh DAP,” katanya.

Sementara itu, Shabery yang juga menteri pertanian ketika ditanya sama ada beliau akan hadir pada mesyuarat ahli parlimen anjuran pembangkang untuk membincangkan kuasa imuniti mereka dalam Parlimen menolak untuk berbuat demikian.

Dr Mahathir dijangkakan turut hadir dalam mesyuarat esok bagi memberi pendapatnya berkenaan imuniti anggota parlimen di dalam Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut Shabery berkata semua pihak harus membandingkan kebebasan yang diberikan ketika zaman Dr Mahathir dan pemerintah sekarang.

“Kita nak bandingkan bentuk kebebasan yang dibuat oleh Tun M berbanding dan yang ada sekarang.

“(Zaman Tun) orang yang paling banyak ditangkap bawah ISA, bagaimana akhbar ditutup, akhbar STAR diharamkan di bawah Tun waktu itu.

“Kalau hari ini dia bercakap soal kebebasan, elok suluh diri sendiri apakah bentuk kebebasan yang pernah ditawarkan ketika menjadi ketua kerajaan,” katanya.