'Umno burukkan DAP bukan skrip baru'
Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh para pemimpin Umno untuk memburuk-burukkan DAP bukanlah kali pertama.
"Demi survival politik perkauman sempit tajaan UMNO dan rasuah yang berleluasa, DAP seringkali dijadikan 'bogeyman'.
"Ini bukan skrip baru," kata beliau sambil menyindir apakah kejayaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memeterai 14 perjanjian dengan China baru-baru ini juga adalah muslihat DAP.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa yang menyebut DAP kini cuba memecahkan Melayu dengan meletakkan calon pilihan mereka dalam parti pembangkang.
Dakwanya, langkah itu sebagai usaha DAP memerintah negara secara senyap dan menjadikan wakil Melayu 'sebagai boneka'.
Jelasnya, strategi DAP kini adalah meletakkan calon mereka dalam PKR, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Mengulas lanjut, Sheikh Omar berkata, ekoran usaha berterusan Umno untuk memburuk-burukkan DAP, beliau mencadangkan seperti yang berikut kepada pemimpin Umno berkenaan:
"Alang-alang beliau membuat tuduhan tak berasas yang DAP sedang infiltrasi dalam parti-parti pembangkang yang lain, mengapa tidak katakan sahaja bahawa Najib ke China dan menandatangani 14 perjanjian sebagai agenda DAP?
"Jadi, tak perlulah susah-susah lagi. Beritahu sahaja kepada rakyat Malaysia, uar-uarkan di media yang Najib ke China dan lakukan kerjasama dengan negara berideologi komunis itu atas percaturan DAP. Kan lebih mudah!," tambah beliau.

