Penyerang Selangor, Ahmad Hazwan Bakri menegaskan dia sudah melupakan kekecewaan di pentas akhir Piala Malaysia, kelmarin bagi memberi tumpuan penuh terhadap skuad kebangsaan.

Pemain berusia 25 tahun itu berkata, fokusnya kini lebih terarah untuk sesi pemulihan selepas keletihan mengharungi perlawanan final Piala Malaysia.

"Rasa penat itu masih ada lagi dan mungkin hari ini saya akan melakukan pemulihan. Soal kekecewaan di Piala Malaysia saya boleh lupakan.

"Saya tak boleh terus kecewa kerana perlu fokus kepada tanggungjawab bersama skuad kebangsaan, apatah lagi akan bersaing di Piala AFF Suzuki," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma FAM, semalam.

Prestasi Ahmad Hazwan dalam saingan Liga Malaysia musim ini turut mendapat pujian jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim sekali gus mengharapkan sentuhannya membantu skuad negara.

Selain itu, Ahmad Hazwan turut mengakui kehadiran semula penyerang berpengalaman, Safee Sali dalam skuad kebangsaan bakal memantapkan lagi Harimau Malaysia.

"Bagi saya, kembalinya Safee dalam pasukan kebangsaan adalah bagus sebab kita memerlukan pemain senior untuk membimbing pasukan.

"Berkenaan prestasi saya sendiri, saya tiada masalah jntuk mendapatkan semula tahap kecergasan terbaik terutama selepas mengharungi final Piala Malaysia.

"Kejayaan menjaringkan gol buat Selangor pada final Ahad lalu menaikkan lag moral saya untuk membantu skuad kebangsaan," katanya.