Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad hari ini "kecewa" dengan hakim yang membatalkan pilihan raya Likas, Sabah kerana memasukkan pandangan peribadi dalam penghakimannya awal bulan ini.

Muhammad Kamil Awang, yang bersara hari ini, dalam keputusan bertulis 8 Jun lalu menyatakan bahawa banyak jabatan kerajaan tidak menjawab surat dan memberikan dua contoh daripada pengalaman peribadinya sendiri.

Satu kes melibatkan anak lelakinya yang memohon permit kerja sementara di Sarawak tetapi telah ditolak dan satu lagi, surat anak perempuannya yang memohon biasiswa bagi kursus lepasan ijazah. Menurut hakim itu, dalam kedua-dua kes, tidak ada jawaban.

"Beliau telah mengheret mahkamah dalam kontroversi umum," kata Dr Mahathir selepas merasmikan Simposium Ekonomi Islam ke-20 di Kuala Lumpur pagi tadi.

Katanya, penghakiman seumpama ini pertama kali terjadi dalam sejarah kehakiman negara.

Muhammad Kamil turut menyebut: "Pada pandangan saya adalah satu penghinaan kepada kebijaksanaan seseorang untuk diberikan arahan melalui telefon supaya petisyen ini digugurkan tanpa dibicarakan, dan paling penting, ia adalah dengan penuh rasa tanggungjawab dan tulus saya mendengar kes ini."

Berikutan pendedahan itu, bekas Ketua Hakim Negara Tun Eusoff Chin dilaporkan telah mengaku membuat panggilan telefon tersebut. Eusoff bagaimanapun mendakwa beliau tidak pernah mengarahkan Muhammad Kamil menggugurkan kes itu tetapi mengarahkan hakim itu mempercepatkannya.

Dr Mahathir hari ini berkata beliau "tidak pasti sama ada arahan telefon itu meminta hakim menggugurkan kes tersebut."

"Kita (kerajaan) mempunyai masalah untuk mempercayai mahkamah kerana beliau telah mencemarkan imej (mahkamah)," tambah beliau, mengulas buat pertama kali isu "arahan telefon" kepada hakim tersebut.

Dr Mahathir tidak menolak kemungkinan kenyataan hakim itu akan menimbulkan keraguan kepada pihak mahkamah pada masa akan datang.

"Beliau (hakim) sepatutnya menarik diri sejak awal lagi atau memaklumkan kepada saya," katanya.

Tidak masuk akal

Muhammad Kamil, dalam wawancara dengan agensi berita Bernama semalam, menjelaskan kemungkinan beliau salah faham terhadap arahan Eusoff itu sebagai "tidak masuk akal sama sekali."

"Beliau tidak sepatutnya membangkitkan perkara itu. Pada mulanya beliau menafikan ada menghubungi saya tetapi keesokan harinya saya baca (di akhbar) bahawa beliau mengaku ada menghubungi saya," kata hakim itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu juga mempertahankan haknya memasukkan pandangan tersebut.

"Obiter dictum (pendapat hakim) tidak sepatutnya dipertikaikan. Ia merupakan pendapat hakim. Di England, terdapat ramai hakim yang memberikan pendapat seumpama itu. Ia bukan merupakan sebahagian penghakiman. Kenyataan yang saya buat mengenai perkara ini bukannya dengar cakap kerana ia daripada pengalaman saya sendiri," katanya kepada Bernama.

Dalam keputusan itu Muhammad Kami berkata: "Saya mengambil kesempatan ini untuk merekodkan beberapa pemerhatian bahawa terdapat trend dan budaya yang membimbangkan, yang bukannya budaya Malaysia, telah berkembang, iaitu institusi awam dan jabatan kerajaan tidak lagi peduli untuk menjawab surat atau aduan yang diterima daripada orang ramai".

"Saya tidak membangkitkan masalah peribadi. Saya katakan saya mempunyai pengalaman sendiri. Ini adalah dua perkara yang berbeza," katanya, seperti dilaporkan, mengulas kritikan bahawa kenyataan itu adalah "luar biasa dan boleh dipertikaikan".

Kenyataan itu merujuk kegagalan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis untuk memeriksa senarai daftar pemilih yang didakwa mempunyai nama-nama bukan warganegara ataupun mereka yang tidak layak walau aduan telah dibuat kepada dua badan terbabit.

Mahkamah tinggi mengisytiharkan kemenangan calon Barisan Nasional Datuk Yong Teck Lee bagi kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Likas pada pilihan raya 1999 sebagai batal dan tidak sah ekoran daftar pemilih yang tidak sah.