Ahmad Hafizal Ahmad Fauzi, 18, yang semalam memilih untuk menerima hukuman 14 hari penjara kerana gagal membayar denda RM600 atas kesalahan tidak menghadiri Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), dibebaskan hari ini setelah denda tersebut dibayar.

Menurut laporan Bernama, remaja yang menetap di Kampung Titi Serong, Kayang dekat sini dibebaskan dari lokap Balai Polis Kangar pukul 8.45 pagi.

Remaja itu kemudiannya dilihat meninggalkan perkarangan balai polis itu dengan sebuah kereta Perdana V6 ke destinasi yang tidak diketahui.

Sebelum itu, Pegawai Khas Menteri Besar Perlis, Yusof Othman dilihat berada di Mahkamah Majistret Kangar pada jam 8.15 pagi, dipercayai untuk membayar denda yang dikenakan.

Semalam Ahmad Hafizal dihukum denda RM600 atau 14 hari penjara jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Majistret Kangar setelah mengaku bersalah gagal melaporkan diri pada latihan PLKN di Dusun Resort, Kuala Nerang, Kedah pada 25 Julai tahun lalu tanpa sebarang penangguhan atau pengecualian yang dibenarkan.

Banyak pihak simpati

Dia dituduh mengikut Seksyen 18(1) Akta Khidmat Negara 2003 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM3,000 atau penjara selama enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, Ahmad Hafizal, seorang buruh, memilih untuk dipenjarakan kerana kesempitan hidupnya.

Dia dijadualkan dihantar ke Penjara Sungai Petani hari ini tetapi terselamat daripada menjadi penghuni penjara selepas denda itu dibayar.

Sejak malam tadi, beberapa pihak termasuk golongan politik menyatakan hasrat untuk membantu Ahmad Hafizal membayar denda itu kerana simpati terhadap hukuman yang diterimanya.

Ahmad Hafizal menjadi tumpuan nasional kerana merupakan remaja pertama di negara ini yang dijatuhi hukuman mengikut Akta Latihan Khidmat Negara 2003.