Lebih separuh daripada 2,216 perwakilan MCA dalam mesyuarat agung luar biasa hari ini menyokong tindakan parti itu membeli Nanyang Siang Pau dan China Press bulan lalu.

Pengundian secara sulit menyaksikan 1,176 undi, atau 53 peratus, menyokong pengambilalihan, sementara 1,019 menolak - majoriti 175 undi.

Selepas pengiraan undi diumumkan, Presiden MCA Datuk Seri Ling Liong Sik, penyokong kuat urus niaga itu, berkata beliau berharap keputusan itu dihormati oleh semua pihak dalam parti itu.

"Kita mahu MCA yang bersatu, bukan MCA yang berpecah-belah," kata Ling kepada wartawan, sambil menambah beliau "tidak peduli" dengan majoriti tipis itu.

"Menang tetap menang, walau 10 undi," katanya.

Dalam sidang akhbar berlainan, Naib Presiden Datuk Chua Jui Meng berkata beliau dan beberapa pemimpin kanan parti itu yang menentang pengambilalihan itu akan menghormati keputusan perwakilan itu, sambil menambah mereka tidak akan mengambil tindakan mahkamah untuk menghalang urus niaga itu.

Selain Chua, Timbalan Presiden Datuk Lim Ah Lek dan Ketua Pemuda Datuk Ong Tee Kiat juga menentang kuat usaha mengambil alihan Kumpulan Nanyang.

Bagaimanapun Chua berkata pemimpin parti itu harus memberikan perhatian kepada sekumpulan besar perwakilan yang menolak pembelian dua akhbar tersebut.

Mesyuarat agung luar biasa hari ini bertujuan memutuskan usul sama ada urus niaga itu, melalui syarikat pelaburan milik parti itu Huaren Holdings, bulan lalu disokong oleh seluruh peringkat keahlian MCA.

Lebih 90 peratus perwakilan yang layak - 2,216 daripada 2,384 - hadir untuk membuang undi dan juga mendengar perbahasan 12 perwakilan, setiap kumpulan diwakili enam orang, selama enam jam bermula 10 pagi.