Terjemahan Tidak wujud kebimbangan yang Malaysia akan bertukar menjadi sebuah negara Islam yang ekstrim, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah semalam.

Sebaliknya, Malaysia akan terus kekal sebagai sebuah negara Islam yang sederhana, katanya ketika ditanya mengenai kebimbangan Menteri Mentor Singapura Lee Kuan Yew bahawa Malaysia akan ditadbir oleh golongan pro-Islam di masa depan.

Lee yang melawat Malaysia dua minggu lalu, dipetik sebagai berkata: "Saya rasa ini kebimbangan banyak pihak di luar, khasnya di kalangan negara-negara Eropah bahawa Malaysia kini di ambang perubahan ke sebuah negara Islam ekstrim dan golongan pro-Islam akan mengatasi yang lain."

Abdullah berkata senario seperti itu tidak akan berlaku di Malaysia.

"Saya telah berulang kali kata yang kita menolak sebarang bentuk ekstremisme. Pastinya, kita juga menolak dan mengecam keganasan," kata Abdullah

Islam progresif

"Dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama, kita menghormati bukan Islam. Kita berkongsi kerajaan, kita mengamalkan perkongsian kuasa yang tidak terdapat di tempat-tempat lain," katanya.

Abdullah menegaskan demikian semalam selepas majlis penjelasan mengenai Islam Hadhari, yang diterjemahkan "bertamadun" atau Islam progresif, yang disifatkannya sebagai "satu pendekatan praktikal untuk memotivasi umat Islam dan berada dalam kedudukan lebih baik".

Sejak menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad kira-kira 18 bulan lalu, Abdullah telah memperkenalkan satu visi pemerintahan Islam dengan mesej bahawa Islam adalah satu agama untuk kemajuan.

Katanya, umat Islam mesti mengimbangi keperluan mereka di dunia dan di akhirat dan oleh itu perlu berusaha untuk menjadikan Malaysi a sebuah negara Islam yang termaju di dunia.

AFP