Perwakilan sokong gabungan Keadilan-PRM
Daripada usul pertama - menerima percantuman Keadilan dengan PRM - 172 orang menyokong dan 98 membantah atau majoriti 63.7 peratus.
Usul kedua - menerima pindaan-pindaan perlembagaan akibat percantuman tersebut - mendapat sokongan 168 undi, bantahan 101 dan selebihnya rosak (62.6 peratus).
Sementara usul ketiga - memberikan mandat kepada Majlis Pimpinan Tertinggi melaksanakan semua langkah ke arag percantuman - mendapat 169 undi sokongan dan 101 undi bantahan (62.2 peratus).
Majoriti dua pertiga bagi usul kedua gagal diperolehi disebabkan keengganan perwakilan menukar nama sekarang kepada Parti Keadilan Rakyat Nasional.
Perwakilan juga lebih suka mengekalkan warna biru muda pada bendera kini. Usul dua lajur merah ditambah pada sempadan tepi kiri dan kanan bendera, yang dikemukakan oleh majlis tertinggi parti itu, sebagai melambangkan warna asal bendera PRM.
Perwakilan bagaimanapun menyokong 'matlamat perjuangan' 17 perkara yang dipersetujui oleh wakil-wakil penyelaras penggabungan itu yang dilantik oleh kedua-dua parti.
Matlamat parti baru
Matlamat parti baru selepas penggabungan termasuklah mewujudkan sebuah negara adil dan demokratik; menghormati sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen; menegakkan kedaulatan undang-undang, media massa serta badan kehakiman yang bebas; menjamin kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan; menghayati Islam sebagai agama Persekutuan serta menghormati hak masyarakat bukan Islam menganut agama masing-masing; dan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi serta pada waktu yang sama menjamin pengguna bahasa-bahasa kaum lain.
Dalam sidang akhbar selepas pengundian petang tadi, Presiden Keadilan Dr Wan Azizah Wan Ismail menyambut baik keputusan tersebut.
"Saya sungguh gembira. Proses pengundian dan perbahasan dijalan secara demokratik," katanya. "Ia (penggabungan) akan menjadi ancaman kepada Barisan Nasional kerana Keadilan menjadi semakin besar sekarang."
Mengenai kegagalan mesyuarat itu mendapat sokongan dua pertiga bagi usul kedua, Wan Azizah berkata, "ia hanya isu teknikal dan ia tidak akan menghalang usaha percantuman. Perkara utama pimpinan telah diberikan mandat untuk meneruskan penggabungan."
Jemputan Isna
Beliau menambah, "sentimen telah disuarakan dan perbezaan pandangan boleh diatasi melalui perbincangan dan debat."
Timbalan Presiden Dr Chandra Muzaffar pula berkata jawatankuasa pusat parti itu akan berunding dengan rakan gabungannya sebelum kongres nasional PRM pada 15 Julai depan.
Sementara itu, Wan Azizah juga mengumumkan Persatuan Islam Amerika Utara (Isna) telah menjemputnya berucap dalam sidang persatuan itu pada 30 Jun ini. Beliau juga dikehendaki menyampaikan perkembangan terkini suaminya, bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tahun lalu, Isna membatalkan jemputannya kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menyampaikan ucapan di sidang persatuan itu, dengan alasan pencabulan hak asasi manusia di Malaysia.
Anwar, yang dipenjarakan selama 15 tahun di Sungai Buloh, kini berusaha mendapatkan rawatan sakit tulang belakang yang dialaminya sejak November tahun lalu di Jerman. Bagaimanapun kerajaan menolak permohonan tersebut.

