Terjemahan Apa yang berlaku hari ini tidak pernah terjadi sebelum ini dalam sejarah Dewan Rakyat. Tetapi itulah yang telah berlaku pada hari terakhir persidangannya hujan dalam Dewan Rakyat.

Pada jam 3.30 petang, sidang Dewan Rakyat sedang berlangsung ketika seorang timbalan menteri sedang berucap menggulung rang undang-undang bagi kementeriannya.

Di luar hujan mencurah-curah dan guruh dentum-mendentum. Tiba-tiba air mulai menitik masuk dari bumbung dewan yang bocor, sehingga membasahi tempat duduk beberapa orang timbalan menteri.

Pekerja Dewan Rakyat tergesa-gesa membawa baldi untuk menadah air yang bocor itu. Kemudian pembesar suara 'mati'. Dan beberapa timbalan menteri panik dan beredar keluar dalam keadaan dewan yang gelap. Sidang kemudiannya ditangguhkan.

Sidang Dewan Rakyat terpaksa ditangguhkan apabila air hujan terus menerus menitik masuk dari bahagian bumbung ke dewan.

Ketika itu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Helmi Yahaya sedang menggulung perbahasan Rang Undang-undang (Pindaan) Eksais 2005.

Air membasahi tempat duduk Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar dan Datuk Chia Kwang Chye serta Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk S. Sothinathan. Tempat duduk mereka terletak paling dengan kerusi Speaker.

Pada kira-kira jam 3.40 petang, apabila Teresa Kok (DAP-Seputeh) bangun untuk bercakap, pembesar suara tiba-tiba 'mati'. Berikutan itu, ahli-ahli Parlimen bergegas keluar dalam keadaan dewan yang gelap.

Sepuluh minit kemudiannya, Timbalan Speaker, Datuk Lim Si Cheng mengumumkan persidangan dewan ditangguhkan sehingga satu tarikh yang akan diberitahu kelak kerana "keadaan yang tidak dapat dielakkan".

'Hari yang memalukan'

Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) menyifatkan kejadian itu sebagai 'hari yang memalukan bagi Parlimen".

"Dewan Rakyat baru sahaja membelanjakan kira-kira RM80 juga untuk tujuan pengubahsuaian. Bagaimanapun ini boleh berlaku selepas pengubahsuaian dibuat?" soalnya.

Berikutan itu, Lim menggesa supaya siasatan dijalankan segera terhadap kejadian tersebut.

Menurutnya, Teresa Kok baru bangun untuk meminta ahli-ahli Parlimen supaya memendekkan ucapan mereka untuk membolehkan isu demokrasi di Burma dibahaskan.

Difahamkan, kebocoran kecil berlaku sewaktu hujan lebat semalam tetapi ia tidak mendapat perhatian. Bilik media juga dikatakan mengalami kebocoran yang sama.

Speaker Tan Sri Ramli Ngah Talib memberitahu pemberita kemudiannya bahawa persidangan dewan terpaksa ditangguhkan kerana 'adalah merbahaya untuk meneruskannya kerana (kebocoran itu) boleh menjejaskan peralatan elektrik di dewan".

"Kemudian, terdapat bahaya bumbung runtuh kerana air berterusan bocor ke dalam dewan," katanya sambil menambah, "Saya tidak pernah mengalami keadaan seperti ini sebelum ini."

Ramli berkata Jabatan Pentadbiran Parlimen akan menjalankan siasatan terperinci mengenai perkara tersebut.

Hari ini adalah hari terakhir persidangan dewan bagi sesi kali ini. Persidangan berikutnya dijadualkan pada 20 Jun hingga 12 Julai, diikuti persidangan pada 19 September hingga 8 Disember depan.