Terjemahan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Datuk Onn Ismail telah menolak notis usul tidak percaya terhadap Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo untuk dibentangkan sewaktu sidang dewan itu selama dua hari mulai Isnin ini.

Notis usul tersebut dihantar oleh Ketua Pembangkang di DUN Selangor, Teng Chang Khim yang pada 9 April lalu.

Dalam suratnya bertarikh 20 April, Onn berkata, selepas meneliti dan menimbangnya, didapati tujuan usul tersebut hanyalah untuk bercakap di Dewan dan perkara yang dibangkitkan juga bersifat umum, tidak khusus dan tanpa alasan.

Berikutan itu, Teng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pinang, yang berang dengan keputusan itu menuduh Datuk Onn Ismail menyalahkuasanya sebagai speaker dewan negeri tersebut.

Menurut Teng, beliau telah menghantar notis usul tersebut untuk dimasukkan ke dalam agenda DUN Selangor yang akan bersidang pada hari Isnin dan Selasa depan.

Memandangkan ia hanyalah notis mengenai usul untuk didengar di persidangan tersebut, maka kata Teng, tidak ada keperluan untuk disertakan bersama alasan-alasannya.

"Usul tersebut dibuat mengikut Perintah Tetap 26(1) dan 27(3), maka tidak perlu bagi saya mengemukakan alasan untuk membentang usul tersebut. Prosedur yang betul ialah memasukkannya ke dalam agenda dan dikemukakan di sidang tersebut. Ketika itulah baru Dewan memutuskan sama ada menolak atau membenarkan usul itu diteruskan.

"Tetapi, Speaker telah menolak notis saya mengikut Perintah Tetap 17(7a), iaitu tentang usul tergempar yang memerlukan sidang dewan ditangguhkan untuk membolehkan usul berkenaan. Jelas sekali, itu bukanlah tujuan saya mengemukakan notis tersebut," kata pemimpin DAP itu ketika dihubungi hari ini.

Di bawah Perintah Tetap 17 (7a), hanya perkara-perkara yang ditakrifkan sebagai "mustahak", khusus dan demi kepentingan awam, sahaja yang boleh dikemukakan.

'Penyalahgunaan kuasa'

"Ia bukanlah kuasa Speaker untuk menolak notis untuk Adun membentangkan usul. Hanya Dewan yang boleh memutuskannya. Bagi saya, apa yang dilakukan oleh Speaker itu adalah penyalahgunaan kuasa, terutama apabila menolak notis usul di bawah Perintah Tetap yang lain daripada apa yang saya kemukakan," kata Teng.

Ditanya sebab-sebab beliau mahu membentangkan usul tersebut, Teng berkata: "Terdapat begitu banyak isu yang membabitkan kerajaan negeri pimpinan Khir Toyo, contohnya kontroversi Bukit Cahaya dan pembinaan kediaman mewah untuk ahli exco. Dan banyak lagi tuduhan rasuah terhadap Khir."

Mengenai tindakan selanjutnya, Teng berkata, beliau akan menghantar surat rayuan kepada Sultan Selangor dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung perkara tersebut.

Mohd Khir, yang menjadi menteri besar sejak tahun 2001 terus menerus dilanda pelbagai kontroversi dan dakwaan rasuah.

Pelbagai laporan mengenainya telah dibuat kepada Badan Pencegah Rasuah dan banyak pihak telah mendesak Khir supaya meletakkan jawatan.

Rabu lalu, Parlimen diberitahu, BPR telah memulakan siasatan terhadap Khir berhubung dakwaan beliau memberi tanah di Taman Templer kepada beberapa syarikat tanpa kelulusan majlis Exco negeri.