Saya kecewa dengan pendirian Majlis Fatwa Kebangsaan, yang mahu undang-undang moral rakyat diteruskan, sedangkan penguatkuasaannya terbukti disisip elemen melampau yang susah dikawal.

Kebimbangan terhadap nilai moral komuniti inilah menjadi pendorong surat ini ditulis tetapi jangan pula dalam kebingungan, kami generasi muda dijadi sasaran.

Berulang kali kebijaksanaan manusia dilaung dan beginilah Islam mahu disebarkan. Dengan baik, bijak, lembut dan sederhana. Seperti mereka yang dulu mengusahakan tabligh. Tapi itu bukan kerja yang mudahkan?

Tidak ada bukti kalau masyarakat diintip, zina berkurangan. Tidak ada bukti kalau setiap wanita berhijab, anak tidak menagih dadah. Namun aktiviti penguatkuasaan ini memberi kepercayaan yang palsu komuniti kita selamat. Walhal, statistik menunjuk kes zina dan ketagih dadah semakin meningkat.

Yang mustahak, Islam dicerminkan dengan sebaik-baiknya, bermula dengan pihak yang berkuasa. Lebih bermakna kalau kebijaksanaan itu digandingkan untuk mencari alternatif yang dapat menarik anak muda keluar daripada elemen-elemen yang menyesatkan.

Bukanlah kewajiban kita menjadikan mereka mendapat petunjuk, akan tetapi Allah yang memberi petunjuk siapa yang dikehendakiNya (2:272). Jelas ini sistem Allah dan terletak ditangan setiap individu untuk memilih.

Janganlah kita yang menjadi penghalang kepada sistem ini. Tanggungjawab kita ialah mewujudkan alternatif yang bijak untuk dijadi pilihan mereka.

Akhir kata saya tidak mewakili masyarakat Islam dalam kata-kata ini. Hanya pandangan dari sudut seorang Muslim.